Jumaat, 5 Julai 2013

SISTEM BERMAHARAJA DI CHINA

TEMA 2: PEMERINTAHAN DAN PENTADBIRAN

SISTEM BERMAHARAJA DI CHINA


Kedudukan dan Gelaran

Dinasti yang memerintah China pada abad ke-19 ialah Dinasti Manchu atau Ching dan mereka menggunakan gelaran Maharaja.

Maharaja menduduki tunggak kerajaan dan merupakan ketua pemerintah yang berkuasa mutlak kepada negara dan tanah rakyatnya. Mereka dianggap sebagai “Son of Heaven” atau “Anak Tuhan dan Syurga (tien)” yang mendapat mandat daripada tuhan untuk memerintah serta mesti dihormati oleh semua lapisan masyarakat. Maharaja bertanggungjawab jika berlaku sebarang malapetaka atau bencana alam seperti banjir, kemarau, gempa bumi dan lain-lain yang menimpa rakyat. Kegagalan baginda menandakan maharaja tersebut telah hilang mandat dan syurga dan rakyat berhak memberontak atau menggulingkan maharaja.

Terdapat beberapa peraturan yang perlu dipatuhi oleh rakyat ketika mengadap maharaja. Mereka perlu “kowtow” didepan maharaja dan negara-negara asing yang ingin menjalinkan hubungan dengan China mestilah dalam konsep “melindungi dan perlu membayar ufti.


Peranan Maharaja

Politik:

Berkuasa mutlak dalam semua bidang pentadbiran iaitu dari segi eksekutif, lagislatif dan kehakiman.Dan segi hukuman, baginda berkuasa mutlak menjatuhkan hukuman bunuh.

Maharaja mentadbir dengan bantuan pembesar-pembesar peringkat pusat, wilayah dan kampung.

Maharaja adalah wakil Tuhan. Jika berlaku malapetaka di negaranya, maharaja akan dipertanggungjawabkan. Jika keadaan ini membawa kepada berlakunya pemberontakan, ini menunjukkan yang tuhan tidak lagi merestui kedaulatan maharaja tersebut.


Ekonomi

Menguasai semua sumber ekonomi negara terutama dan segi pertanian dan tanah.

Maharaja juga menguasai semua hasil cukai negara.

Maharaja juga terlibat dalam kegiatan-kegiatan perdagangan sama ada dalam atau luar negara.Baginda menaungi perdagangan dengan negara-negara Asia Tenggara dalam bentuk sistem perdagangan ufti.

Menentukan sistem sukatan, ukuran dan timbangan serta kegiatan-kegiatan perdagangan yang dilakukan di pelabuhan.


Sosial

Mempamerkan dirinya sebagai pemimpin intelektual bagi seluruh rakyat. Istana maharaja telah dijadikan sebagai pusat untuk menjalankan Peperiksaan Awam Kerajaan China bagi memilih kakitangan awam menjawat jawatan pentadbiran tertinggi negara.

Menjadi pemimpin agama Buddha yang melindungi Dalai Lama, Taoisme dan Confucius.

Menduduki hierarki teratas dalam susun lapis masyarakat dan merupakan mengetuai adat resam masyarakat China.

Maharaja juga mempunyai alat-alat dan lambang kebesaran seperti lambang naga yang hanya boleh dipakai oleh maharaja dan kerabat diraja.





Error matching blog to blogger entry. If you are the owner of this blog, please check that there is no typo in your blog address and that you have pasted the code from the Add Ads page correctly (http://webcache.googleusercontent.com/search?q=cache:http://cikgustpm.blogspot.com/)
Nuffnang Ads

SISTEM BERAJA DI THAILAND


PENGENALAN

Sebelum campur tangan kuasa-kuasa Barat pada abad ke-19, negara-negara Siam telah mengamalkan sistem pemerintahan beraja. Sistem ini meletakkan raja  sebagai ketua pemerintahan tertinggi sesebuah negara, menguasai seluruh ekonomi negara dan menjadi golongan yang menduduki lapisan teratas dalam stratifikasi sosial masyarakatnya.

Raja bertanggungjawab melantik pembesar-pembesar negara, menggubal dan melaksanakan undang-undang, mengetuai tentera dan memonopoli ekonomi negaranya seperti Dinasti Chakri di Siam.

Tujuan utama sistem ini diamalkan untuk menjamin keamanan, kesejahteraan, keselamatan keharmonian dan kemakmuran rakyat negara tersebut.


Sistem Beraja di Siam

Kedudukan dan Gelaran

Pemerintah Siam menggunakan gelaran raja dan dinasti yang mentadbir pada abad ke-19 ialah Dinasti Chakri dan menggunakan gelaran Rama. Raja-raja Thai menggunakan gelaran Chao Paendin (Yamtuan Tanah) dan Chao Chiwit (Yamtuan Nyawa).

Raja menduduki hierarki tertinggi dalam masyarakat, menikmati pelbagai keistimewaan, dianggap suci dan memerintah berdasarkan konsep “devaraja” atau “dharmaraja” dan perlu menghayati dan melakukan perlakuan yang baik supaya dicontohi oleh rakyat.

Raja juga dianggap sebagai jelmaan dewa dan dikurniakan sifat-sifat ketuhanan seperti memiliki payung putih, dikurniakan alat-alat kebesaran yang dipercayai mempunyai kesaktian seperti pedang. Baginda juga melantik golongan sami Buddha sebagai penasihat agama.

Simbol kebesaran Raja Siam dapat dilihat dari segi pemilikan binatang suci iaitu gajah putih yang dianggap sebagai harta raja. Rakyat tidak dibenarkan mengganggu dan menggunakan gajah, sesiapa yang engkar akan dihukum. Sebaliknya sesiapa yang dapat menangkap dan menyerahkan gajah akan menerima anugerah yang lumayan daripada raja.


Peranan dan Kuasa Raja

Politik dan Pentadbiran

Raja mengetuai pemerintahan kerajaan dan berkuasa mutlak, merupakan ketua kehakiman, perundangan dan ketenteraan serta menentukan dasar-dasar luar negara.

Raja tinggal di tempat suci yang dipilih khas. Istana dianggap sebagai pusat kerajaan, lambang pusat alam atau orde kosmos dan tempat Tuhan.

Raja berkuasa melantik pembesar-pembesar terutamanya pembesar di peringkat pusat. Mereka terdiri daripada golongan kerabat di raja yang dikenali sebagai Chao.

Raja mempunyai keistimewaan tertentu seperti menjatuhkan hukuman bunuh, mengampunkan pesalah dan lain-lain.


Ekonomi

Raja berkuasa ke atas semua tanah kerajaan dan menganugerahkan tanah kepada kerabat diraja untuk ditadbir.

Menguasai segala hasil negara seperti pungutan cukai, hasil pertanian, hasil bumi, perdagangan dan lain-lain. Pembesar-pembesar menjadi orang perantaraan antara raja dengan rakyat untuk menjalankan kegiatan ekonomi raja. Bagi menjamin bekalan ekonomi dan kawasan pedalaman berterusan, raja Siam mewujudkan hubungan baik dengan kawasan pengeluaran ekonomi.


Sosial

Raja dianggap sebagai pelindung, penaung dan bertanggungjawab ke atas perkembangan agama Buddha dan kesusasteraan negaranya.

Baginda juga mengekalkan adat resam tempatan seperti adat tidak boleh melihat raja, adat meniarap di depan raja dan lain-lain.

Raja juga melindungi rakyat daripada perbuatan penganiayaan, menjamin kebahagian rakyat dan perlu mempunyai moral yang tinggi. Sekaligus rakyat akan memberi kesetiaan yang tidak berbelah bagi kepada raja.


WEDNESDAY, 3 JULY 2013


SUSUN LAPIS MASYARAKAT MELAYU DAN PERANAN SETIAP GOLONGAN


PENGENALAN

Masyarakat Melayu tradisional merupakan sebuah masyarakat feudal iaitu terbahagi kepada golongan memerintah dan golongan diperintah. Berasaskan kepada hubungan timbal-balik dan saling melengkapi iaitu pemerintah menyediakan kepimpinan dan keselamatan kepada rakyat dan sebagai balasan rakyat akan taat setia serta memberi khidmat mereka

Setiap golongan  masyarakat mempunyai kedudukan dan fungsi atau peranannya tersendiri dan berbeza. Kedudukan sosio-politik dan ekonomi dalam masyarakat Melayu dari segi hairaki dan fungsi ini adalah diwarisi ataupun telah tersedia.

Golongan pemerintah termasuklah sultan atau raja, kerabat diraja, pembesar atau bangsawan dan ulamak. Manakala golongan diperintah pula terdiri dengan orang merdeheka sama ada orang bebas tempatan dan orang bebas asing dan golongan hamba.

Mula mengalami perubahan setelah British campur tangan ke atas Tanah Melayu pada tahun 1874.


Sultan @ Raja

Berada di puncak kekuasaan dan mempunyai kuasa tertinggi dalam semua bidang termasuklah aspek politik, ekonomi dan sosial. Mempunyai daulat di mana jika rakyat derhaka akan terkena tulah raja atau ditimpa musibbah yang berterusan.

Sultan mempunyai fungsi utama iaitu menjaga kehidupan rakyat dan menjaga keharmonian negeri yang dinaungi, tugas lebih berat kepada hal agama dan adat istiadat.

Mempunyai keistimewaan tertentu seperti memiliki bahasa dalam, memakai pakaian berwarna kuning, berhak membina istana, mempunyai cop mohor, alat kebesaran diraja dan alat muzik diraja iaitu nobat.

Jawatan sultan adalah secara warisan dan jawatan Raja Muda (Putera Mahkota) diwujudkan untuk putera sulong sultan bagi elak daripada berlakunya kesulitan apabila sultan mangkat kelak.

Di Perak penggantian sultan secara giliran iaitu bakal sultan perlu melalui beberapa jawatan tertentu seperti Raja Di Hilir, Raja Bendahara, Raja Muda barulah boleh menjadi Sultan. Dengan itu, terdapat 3 keluarga diraja mempunyai peluang menjadi sultan.

Di Negeri Sembilan pula penggantian YDP Besar secara pemilihan iaitu Undang Berempat berkuasa untuk memilih dan melantik YDP Besar baru yang dipilih dikalangan anak raja.

Sebelum dilantik menjadi sultan perlu mengikuti adat istiadat pertabalan diraja dan ada kalanya putera raja dilantik menjadi pembesar daerah @ raja di jajahan takluk.


Kerabat Diraja

Terdiri daripada golongan keluarga diraja seperti anak-anak sultan, anak saudara sultan, saudara sultan dan sebagainya. Dapat restu sultan untuk menikmati segala keistimewaan seperti mana sultan dalam menggunakan bahasa dalam dan memakai perhiasan emas tetapi tidak berkuasa seperti sultan.

Mereka dibenarkan memiliki tanah, menjalankan segala tugas yang diperintah oleh sultan dan ada pegang jawatan pembesar untuk mentadbir kawasan yang dipertanggungjawabkan.


Pembesar @ Golongan Bangsawan

Terbahagi kepada kumpulan kecil berdasarkan taraf dan fungsi dalam masyarakat. Golongan ini juga dikenali sebagai orang baik-baik. Biasanya terdiri daripada golongan diraja iaitu  mempunyai hubungan kekeluargaan dengan golongan diraja atau yang mempunyai hubungan rapat dengan kerabat diraja.

Juga mempunyai beberapa keistimewaan seperti menggunakan bahasa dalam. Jawatan diwarisi turun temurun atau yang dianugerahi sultan. Mempunyai beberapa lapisan pembesar dalam pemerintahan seperti dalam Sistem Pembesar Empat Lipatan iaitu terdiri dengan pembesar pusat, daerah dan kampung.

Fungsi utama ialah melaksanakan kuasa mentadbir yang ada pada sultan dan menjadi tulang belakang pentadbiran kerana berjaya atau tidak adalah sangat bergantung kepada kecekapan dan keberkesanan mereka.

Golongan ini diberi anugerah kawasan untuk ditadbir seperti kawasan “pegangan” dan “pemakanan”. Sebagai contoh, Dato’ Maharaja Lela di Pasir Salak, Dato’ Bahaman di Semantan, Engku Besar Jeram Tuan Ahmad di Pasir Puteh dan sebagainya.


Golongan Agama @ Ulamak

Menjadi penasihat sultan dan kerajaan dalam soal keagamaan dan hukum syarak. Berperanan sebagai jurutulis serta pakar rujuk bagi sultan dan golongan istana termasuklah golongan bangsawan.

Mereka juga menjadi perawi ataupun pendita diraja seperti menulis salasilah raja. Kebanyakan berketurunan Arab dan Parsi dan merupakan pemimpin agama dan menerima anugerah gelaran oleh sultan sseperti Maharaja Kadi, Makhdum, Maulana, Mufti dan Kadi.

Di Trengganu ulamak memainkan peranan penting dalam pentadbir kerajaan dan bergelar ‘Tokku’. Contohnya Tokku Paloh yang membantu Dato’ Bahaman yang berlindung di Trengganu kerana menentang British di Pahang.


Orang Merdeheka

Orang merdeheka atau orang bebas terbahagi kepada iaitu orang bebas tempatan dan orang bebas asing. Orang bebas tempatan adalah orang asal di negeri tersebut dan hidup bebas serta  menetap. Mereka menjadi pengikut pembesar dan wajib bayar cukai.

Orang bebas tempatan bekerja sebagai petani, nelayan, tukang mahir, pelombong, pencari hasil hutan dan sebagainya.

Orang bebas asing pula merupakan orang luar yang datang ke negeri Melayu sebagai pedagang, perantau, mubaligh, senteri dan sebagainya. Sebagai contoh, orang Kemboja di Kelantan, Hadramaut di Perlis, Gujerat dan Kalingan di Melaka, Bugis di Johor dan Selangor.

Kedua-dua golongan ini boelh bergerak bebas dan tertakluk kepada undang-undang negeri tersebut.


Golongan Hamba

Gol hamba ialah golongan tidak bebas atau tidak merdeka serta dimiliki oleh golongan kaya atau pembesar. Hamba adalah golongan paling rendah tarafnya dalam susun lapis masyarakat.

Golongan hamba melambangkan taraf sosial atau kekuasaan pemilikinya terutama dalam ekonomi. Terbahagi kepada 3 kumpulan iaitu hamba raja, hamba biasa(abdi) dan hamba berhutang.

Hamba raja dikenali hamba biduanda dan akan melakukan kerja-kerja untuk raja, boleh dilepaskan atas kerelaan raja, dan terdiri daripada mereka rela hati serah diri selepas lakukan kesalahan. Hamba ini tidak mahu dilepaskan walaupun raja ingin membebaskan mereka kerana kehidupan mereka lebih baik berbanding dengan golongan rakyat bebas.

Hamba biasa (abdi) pula menjadi hamba seumur hidup kepada sipemiliknya. Terdapat perbagai jenis hamba abdi seperti hamba tawanan iaitu hamba tertawan dalam peperangan, hamba diranggah ialah orang tawanan bukan Islam yang ditawan oleh lanun atau orang Batak dan dijual, hamba Habsyi pula merupakan hamba kulit hitam yang dibeli di Mekah termasuklah hamba yang dibawa oleh org Arab ke Tanah Melayu; hamba Hulur merupakan pesalah menyerah diri kepada pemerintah kerana tidak mampu bayar hutang darah atau denda; hamba serah adalah orang susah serah diri kepada orang yang sanggup memberikan mereka makan; dan anak hamba/keluarga hamba terdiri daripada isteri dan anak-anak kepada hamba abdi.

Hamba berhutang pula merupakan orang gagal bayar hutang dalam tempoh tertentu dan jadi hamba kepada sipemiutang. Hamba ini akan bebas semula apabila hutang selesai. Terdapat jenis hamba lain yang berkaitan dengan hamba berhutang seperti anak emas iaitu hamba lelaki dan hamba perempuan yang berkahwin dan terikat dgn tuannya; hamba waris iaitu isteri dan anak-anak hamba berhutang; hamba bayar adalah  hamba abdi diserahkan kepada orang lain sebagai menjelaskan hutang.

Hamba abdi dan berhutang berkhidmat untuk tuannya sebagai pengikut dan terlibat dengan pekerjaan di dalam rumah. Hamba lelaki akan disuruh melakukan  tugas berat di luar rumah, tujuan pertahanan dan pertanian. Manakala hamba perempuan pula akan bekerja di dalam rumah atau menjadi dayang kepada pemerintah. Ada juga hamba perempuan dijadikan pelacur untuk tambah pendapatan tuannya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan