Contoh Esei 1
Tema 2: Pemerintahan dan
Pentadbiran
Soalan: Huraikan / Jelaskan sistem pembesar yang diamalkan di China abad ke-16 hingga ke-20.
Soalan: Huraikan / Jelaskan sistem pembesar yang diamalkan di China abad ke-16 hingga ke-20.
Pembesar
merujuk kepada pegawai kerajaan yang dilantik oleh raja untuk membantu
melicinkan perjalanan pentadbiran sesebuah negara. Di China, pegawai yang
terdiri daripada golongan cerdik pandai merupakan orang kedua terpenting
selepas maharaja. Pembesar China boleh dibahagikan kepada dua iaitu pembesar di
peringkat pusat dan pembesar di peringkat wilayah.
Pentadbiran
China dibahagikan kepada tiga unit utama iaitu Majlis Tertinggi, Sekretariat
Agung dan Lembaga Penapis [Censorate]. Majlis Tertinggi terdiri daripada enam
kementerian yang setiap satunya diketuai oleh pegawai yang dipanggil Shangschu.
Majlis Tertinggi berperanan menasihati maharaja dalam hal pemerintahan.
Sekretariat Agung berperanan menyelia, menyelaras dan melaporkan
perjalanan enam kementerian yang terdapat dalam pentadbiran kerajaan
pusat. Lembaga Penapis pula berperanan menjadi mata dan telinga maharaja
yang melaporkan setiap tindakan pembesar.
Dalam
sistem pembesar China terdapat dua kelompok pembesar iaitu golongan sarjana dan
bukan sarjana. Golongan sarjana menduduki darjat paling tinggi dalam sistem
pembesar China. Golongan ini merupakan lulusan peperiksaan awam yang menjadi
syarat lantikan atau kenaikan pangkat. Golongan sarjana biasanya menjawat
jawatan yang penting terutama dalam hal yang melibatkan penggubalan dasar.
Dasar yang telah digubal ini akan dilaksanakan oleh pembesar bawahan di
peringkat wilayah dengan bantuan pembesar tempatan iaitu gentry.
Pembesar
peringkat wilayah yang bukan golongan sarjana pula memiliki angkatan tentera
sendiri. Mereka berperanan menyediakan bantuan ketenteraan kepada pemerintah
pusat terutama ketika diperlukan. Selain itu, mereka juga
bertanggungjawab menjaga keamanan dan kestabilan wilayah sendiri. Kedudukan
pembesar ini lebih rendah berbanding pembesar golongan sarjana.
Semasa
pemerintahan Dinsati Ch’ing, gabenor dilantik sebagai pentadbir daerah yang
menguruskan pentadbiran, keamanan dan ketenteraan, serta kutipan cukai. Gabenor
ini berhubung langsung dengan pemerintahan pusat. Kesetiaan gabenor kepada
pemerintah pusat dipaterikan dalam dikri diraja. Gabenor akan mentadbir dan dibantu
oleh pegawai daerah yang dilantik oleh maharaja.
Sistem
pembesar di China yang menekankan ajaran klasik Confucius menyaksikan China
bangkit sebagai sebuah kuasa yang besar sekitar abad ke-16 hingga ke-20. Walau
bagaimanapun, sikap pemerintah Dinasti Ch’ing yang tidak lagi menekankan ajaran
Confucius menyebabkan kemerosotan nilai dan etika para pembesar yang lebih
mementingkan kebendaan. Sistem pembesar di China berakhir apabila pemerintahan
Dinsati Ch’ing tamat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan