Tema 4: Konflik Antarabangsa
Soalan: Huraikan faktor berlakunya Perang Dunia Kedua di Asia
Soalan: Huraikan faktor berlakunya Perang Dunia Kedua di Asia
Perang Dunia Kedua yang tercetus
pada tahun 1938 meninggalkan impak yang besar kerana bukan sahaja melibatkan
negara-negara di Eropah tetapi termasuk negara-negara di Asia dan Afrika. Jepun
merupakan salah sebuah negara Asia yang terlibat secara langsung dalam Perang
Dunia Kedua. Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya Perang Dunia
Kedua di Asia.
Salah satu daripada faktor
berlakunya Perang Dunia Kedua di Asia ialah wujudnya gerakan nasionalisme
yang melampau di Jepun. Kita Ikki merupakan seorang pelampau yang
mempelopori aliran baharu nasionalisme di Jepun. Beliau berpendapat pembentukan
semula negara Jepun oleh tentera atas nama maharaja perlu dilakukan. Beliau
menolak amalan demokrasi Barat dan Parlimen Jepun yang mudah terjebak dalam
amalan rasuah. Aliran ini menyebabkan berlakunya pergeseran antara parti
pemerintah dengan golongan tentera. Kejayaan golongan tentera mengambil
alih tampuk pemerintahan Jepun membolehkan mereka mengukuhkan
kekuatan tenteranya bagi menghadapi kuasa Barat.
Kemelesetan ekonomi
dunia pada tahun 1929 turut mendorong kepada meletusnya Perang
Dunia Kedua. Krisis ekonomi dunia ini telah menyebabkan golongan petani dan
rakyat Jepun dibebani kemiskinan. Petani yang tidak berpuas hati dengan
pemerintah akhirnya telah menyatakan sokongan kepada tentera. Pada tahun 1936,
golongan tentera memberontak dan berjaya menguasai kerajaan. Kerajaan Jepun
kemudiannya berusaha mempersiapkan diri untuk menghadapi peperangan.
Kepentingan ekonomi Jepun
juga mendorong kepada kancah Perang Dunia Kedua. Dasar Pemodenan
Meiji berjaya memacu ekonomi Jepun sehingga menjadi negara
industri yang kuat. Kepesatan ekonomi Jepun turut meningkatkan permintaan ke
atas bekalan bahan mentah bagi memenuhi keperluan industri. Bagi mendapatkan
bekalan bahan mentah dan pasaran, Jepun telah melaksanakan dasar imperialisme.
China dan Manchuria yang kaya dengan arang batu, kapas dan sutera telah menjadi
sasaran Jepun. Belanda, Britain, AS dan Perancis bimbang dasar imperialisme
Jepun ke kawasan lain seperti Indo-China dan Asia Tenggara menjejaskan
kepentingan mereka.
Selain itu, isu
keselamatan negara Jepun juga menjadi faktor meletusnya Perang
Dunia Kedua. Pada penghujung abad ke-19, Jepun bangkit sebagai kuasa yang
kuat di Asia. Yoshida Shoin, tokoh intelek Jepun menegaskan bahawa Jepun perlu
memperkukuhkan pertahanannya. Yamagata Aritomo, salah seorang pemimpin kerajaan
Meiji telah mengetengahkan konsep garis kepentingan negara. Konsep ini
merujuk kepada kawasan bersempadanan atau berhampiran dengan Jepun
dianggap mempengaruhi keselamatan Jepun. Oleh itu, garis kepentingan negara ini
wajar diperkukuhkan. Penekanan ke atas konsep ini menyaksikan Jepun cuba
meluaskan garis kepentingan negara dengan menyerang Rusia [1905], Korea [1910],
China [1895 & 1937], Manchuria [1932], Indo-China dan Asia Tenggara [1941].
Jelas sekali dasar pemodenan Meiji berjaya menjadikan Jepun
sebagai sebuah kuasa yang kuat di rantau Asia. Dasar imperalisme dan ancaman
kuasa Barat telah mendorong Jepun bertindak memperkuatkan pertahanan negaranya.
Kekuatan Jepun menjadikan negara tersebut bersedia berdepan dengan kuasa
Barat dan juga sebarang kemungkinan peperangan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan