STRUKTUR MASYARAKAT
feudal jepun
Sebelum abad ke-16 dan 17, pemerintahan feudal Jepun di
bawah Keshogunan Kamakura (1185-1333). Pada tahun 1192, Minamoto Yoritomo telah
dilantik oleh Maharaja Go-Saga menjadi Shogun. Yoritomo telah menjalankan
pemerintahannya di bandar tepi laut Kamakura dipanggil kerajaan Bakufu yang
dikenali pemerintahan Keshogunan Kamakura.
Shogun Yoritomo mula mengasingkan pemerintahan Jepun
daripada Kyoto. Semasa Maharaja Go-Daigo, pemerintahan Keshogunan
Kamakura telah diambil alih oleh Keshogunan Ashikaga pada tahun 1336-1573
selama 237 tahun. Pemerintahan Shogun Ashikaga Yoshimitsu dijalankan tanpa
merujuk kepada maharaja.
Bermula tahun 1603, pemerintahan di Jepun telah bermulanya era Keshogunan Tokogawa berpusat di Edo yang diasaskan oleh Shogun Tokogawa Ieyasu. Shogun Tokogawa telah menguasai kesemua aspek pemerintahan seperti pengawalan terhadap agama, ekonomi, golongan bangsawan, cukai dan sebagainya. Era Tokogawa telah membawa keamanan dan kemakmuran kepada negara dan rakyatnya seramai 31 juta orang selama 265 tahun.
CIRI-CIRI
SISTEM FEUDAL DI JEPUN
Sistem feudal
juga dapat dilihat dengan jelas di Jepun, iaitu maharaja yang berada di
kemuncak struktur pemerintahan mempunyai kuasa yang tidak terhad ke
atas segala aspek di bawah pemerintahannya termasuklah tanah. Hakikat
ini dapat dilihat pada zaman Keshogunan Kamakura antara
tahun 1185 hingga 1333 (abad ke-12-14), di mana keluarga Minamoto menjadi
keluarga yang penting di Jepun. Keluarga ini
mampu membekalkan keperluan keselamatan
yang diperlukan oleh maharaja dan mereka
turut menguasai tanah dan segala penghasilannya.
Sebagai ketua
kepada keluarga Minamoto, Yoritomo misalnya telah melantik mereka yang setia
kepadanya mewarisi jawatan jito atau pengurus tanah dan
bertanggungjawab mengutip cukai.Shugo merupakan pegawai yang
bertanggungjawab memastikan agar semua cukai di bayar
walaupun kekerasan terpaksa digunakan. Sistem sebegini
terus kekal sehingga zaman Meiji sehingalah beberapa perubahan
besar dilakukan.
Menurut Abdullah
Zakaria Ghazali (2003:101) dalam usaha melihat sejarah sistem Feudal di
Jepun, maka zaman Kamakura tidak harus ditinggalkan kerana zaman ini merupakan
akar kepada keberlangsungan sistem feudal yang hanya tamat pada pertengahan
abad ke-19. Menurutnya lagi, sistem feudal tumbuh subur di Jepun kerana
kewujudan estate persendirian yang dikenali sebagaisyo atau syoen. Pertumbuhan
estate-estate persendirian ini telah dipercepatkan oleh kemerosotan
golongan aristokrat dan kebangkitan golongan perwira (buke).
Golongan ini memberi taat setia kepada Kamakura dan
hasil daripada ketaatsetiaan ini menyebabkan
mereka mendominasi jawatan jito serta shugo.
Gabungan organisasi inilah yang menjadi asas kepada
kemunculan sistem feudal di Jepun.
Sehubungan itu
kita dapat melihat sistem feudal di Jepun telah melahirkan dua golongan
yang saling bergantung antara satu sama lain, iaitu golongan birokrasi
pemerintahan dan golongan tentera. Golongan birokrasi
pemerintahan termasuklah tuan-tuan tanah atau daimyo yang
bertanggungjawab menyumbangkan sebahagian daripada hasil tanah kepada
maharaja.
Selain itu
perjalanan sistem feudal di Jepun agak unik dan berbeza dengan negara lain. Ini
disebabkan wujud keterikatan yang kuat antara golongan daimyo dengan
tentera dan petani , manakala maharaja tidak mempunyai sebarang peranan. Kemunculan
golongan tentera khusus (profesional) di Jepun begitu
berpengaruh dalam menentukan hala tuju pemerintahan. Golongan
daimyo merupakan kelompok yang sangat berkuasa di Jepun dan kuasanya dikatakan
mengalahkan kuasa maharaja.
Golongan tentera
mempunyai kebolehan yang besar dalam peperangan dan digunakan oleh
golongan bangsawan sama ada untuk mempertahankan hak milik
mereka atau menjaga keselamatan tuan-tuan mereka.
Kekuatan ketenteraan ini menjadi tulang belakang
kepada kebangkitan daimyo di Jepun sehingga maharaja
tidak berfungsi sebagaimana sepatutnya.
STRUKTUR
MASYARAKAT FEUDAL JEPUN
Maksud/Konsep:
Feudalisme
bermaksud satu bentuk kerajaan, iaitu kuasa politik dikuatkuasakan secara
tempatan oleh individu persendirian dan bukan kerajaan pusat. Dalam sistem
feudal, tanah menjadi elemen utama iaitu semua tanah milik raja dan golongan
pembesar tidak mempunyai tanah.
Sistem feudalisme
di Jepun pada zaman Keshogunan Tokugawa (1603-1867) terdiri daripada beberapa
kelas dan berbentuk piramid. Struktur masyarakat di Jepun terdiri
daripada golongan pemerintah dan golongan diperintah. Golongan pemerintah
adalah Maharaja, Shogun, Daimyo dan Samurai. Manakala golongan diperintah pula
terdiri daripada petani (nomin), tukang-tukang mahir (artisan) dan
saudagar (chonin). Sistem ini dapat dilihat dengan jelas semasa pemerintahan
Shogun Tokugawa.
Golongan
Pemerintah.
1. Maharaja
Jepun
Dalam hierarki
pemerintahan di Jepun Maharaja menduduki lapisan teratas. Konsep pemerintahan
bermaharaja di Jepun tidak sama dengan sistem bermaharaja di China iaitu di
Jepun tidak ada pengamalan konsep “mandat dari syurga”. Maharaja di Jepun
dianggap sebagai ketua negara, namun bermula abad ke-12 kuasa pemerintahan
dipegang oleh Shogun. Maharaja hanya dikenali sebagai simbol kerajaan atau
sebagai boneka sahaja. Maharaja dianggap sebagai pemerintah keduniaan dan dan
kerohanian. Maharaja juga dikatakan dari keturunan dewi matahari (amateresu).
Shogun Tokogawa
telah mula memerintah Jepun bermula tahun 1603. Semasa pemerintahan Shogun
Tokugawa, Maharaja Jepun tidak mempunyai kuasa untuk mentadbir. Maharaja hanya
dinggap sebagai simbol perpaduan rakyat. Kuasa pemerintahan sebenar terletak
ditangan Shogun.
Maharaja Jepun
telah ditempatkan jauh dari pusat pemerintahan Shogun di Edo. Maharaja tinggal
di kawasan yang terpencil di Kyoto dan duduk di dalam istana yang dikelilingi
oleh tembok dan golongan Kuge (pegawai istana). Kerajaan yang diperintah oleh
Maharaja dikenali sebagai Kerajaan Mikado.
Namun, kedudukan
dan kekuasaan Maharaja Jepun mula mengalami perubahan apabila Maharaja
Mutsihito menaiki takhta Jepun yang kemudian menggunakan gelaran Maharaja Meiji
(bermaksud sinar menyinari). Kuasa Maharaja telah dikembalikan semula oleh
pemerintah Shogun Tokogawa yang terakhir iaitu Yoshiinobu
2. Shogun
Tokogawa
Kuasa
pemerintahan sebenar di Jepun terletak ditangan Shogun, bukannya dipegang oleh
Maharaja.Shogun menjalankan tugas atas nama maharaja melalui dasar pecah
dan perintah. Hal ini dilakukan supaya kuasa dan kedudukan
Shogun terjamin. Kerajaan yang diperintah oleh Shogun yang berpusat
di Edo (kemudian ditukar kepada Tokyo pada tahun 1869) dikenali sebagai Kerajaan
Bakufu (Kerajaan Ketenteraan).
Shogun mempunyai autoriti pentadbiran tertinggi meliputi
seluruh rakyat dan istana termasuk maharaja. Shogun sangat dihormati, ditakuti
dan digeruni. Shogun menguasai
hampir seluruh tanah di Jepun dan membentuk hampir 30% daripada keluaran hasil
pertanian negara.
Shogun telah
membahagikan kawasan pemerintahan berdasarkan golongan bangsawan
atau Daimyo yang menyokong dan menentangnya. Daimyo yang
menyokong Shogun akan diberi tanah manakala bangsawan yang menentangnya
ditempatkan di kawasan yang akan dikawal oleh sekutu Tokugawa.
3. Daimyo
Daimyo merupakan
golongan bangsawan yang mempunyai peranan penting dalam pentadbiran Tokugawa di
Jepun. Mereka terbahagi kepada tiga kumpulan iaitu Daimyo Fudai,
Daimyo Shimpan dan Daimyo Tozama.
Daimyo
Fudai ialah ahli
keluarga Shogun Tokugawa dan sekutu-sekutunya, dan mereka telah dikurniakan
tanah yang berhampiran kediaman Shogun di bahagian tengah dan utara
Honshu. Mereka akan membantu Shogun menguasai pemerintahan di Jepun. Daimyo
Fudai merupakan penyokong kuat Tokogawa yang berjumlah 120 orang. Mempunyai hak
keistimewaan seperti boleh menjadi anggota dua Majlis Negara dan ditugaskan
mengawasi daimyo Tozama.
Daimyo
Shimpan juga
dikenali sebagai rumah-rumah bersaudara dan mereka terdiri daripada
pelbagai cabang keluarga Tokugawa. Keluarga Tokugawa yang utama dikenali
sebagai “go-snake” atau “tiga rumah” kepunyaan anak
Iesyu yang terletak di daerah Qwari, Kii dan Mito. Mereka diberi tanah tidak
jauh daripada Shogun.
Daimyo
Tozama juga
dikenali sebagai daimyo luar iaitu tuan-tuan tanah feudal yang terpaksa tunduk
kepada Tokugawa dan mereka sentiasa memusuhi Shogun. Oleh
itu Shogun telah melantik daimyo Fudai untuk sentiasa mengawasi tindak tanduk
daimyo Tozama. Mereka telah ditempatkan jauh daripada Shogun,
dilarang memegang jawatan diperingkat pusat kerana dicurigai sebagai
penentang.dan dilarang memasuki istana untuk mengelak ancaman
daripada mereka. Daimyo Tozama terdiri daripada puak suku-suku Barat seperti
Satsuma, Chosu, Toza dan Hizen.
4. Samurai
Samurai pula
merupakan kelas panglima yang mempunyai kedudukan istimewa dalam masyarakat
Jepun. Mereka berfungsi sebagai penjaga keamanan negara dan menjaga kepentingan
Daimyo dengan tidak berbelah bagi.
Mereka tidak
dibenarkan melakukan kerja lain walaupun negara dalam keadaan aman. Oleh itu,
ketika negara berkeadaan aman dan tiada peperangan maka kehidupan golongan
Samurai akan ditanggung oleh golongan petani. Zaman aman peranan samurai
berfungsi sebagai pentadbir ladang wilayah, menguruskan kewangan, mengawal
dusun, pengawal dan utusan.
Golongan samurai
terbahagi kepada 3 kelas iaitu kelas teratas iaitu golongan yang mempunyai
pertalian darah atau berkhidmat lama dengan daimyo dan bilangannya sangat kecil
serta mempunyai tanah. Kelas sederhana iaitu taraf samurai penuh dan mempunyai
bilangan sangat ramai. Manakala samurai kelas rendah pula sangat besar
jumlahnya dan dijadikan sebagai tentera berjalan kaki. Mereka hanya boleh
mengisi jawatan rendah dalam kerajaan dan ekonomi
Golongan
Diperintah
5. Petani
(nomin)
Dalam golongan
yang diperintah, golongan petani (nomin) menduduki tempat yang tertinggi
berbanding dengan golongan diperintah lain. Hal ini kerana Jepun adalah sebuah
negara pertanian yang tidak mengadakan perhubungan dengan negara luar berilutan
pengamalan dasar tutup pintunya.
Golongan petani
merupakan pengeluar beras yang menjadi bahan makan rakyat Jepun serta
membayar sebahagian besar cukai. Sebagai balasan mereka diberi upah hanya
secukup makan sahaja kerana hasil keluaran beras dikhususkan untuk negara.
Akibat pengamalan dasar tutup pintu ini menyebabkan rakyat hanya bergantung
kepada beras yang dikeluarkan oleh petani sahaja.
Golongan petani
dikenakan sistem kerah iaitu mereka dikerah untuk mengangkut barang pertanian
melalui sepanjang Jalan Tokaido dengan melalui beberapa tempat sekatan bagi
membolehkan pegawai (pengitip takafu) menjalankan pemeriksaan ke atas petani
yang melalui jalan tersebut. Sekiranya petani melalui jalan lain, petani akan
dikenakan hukuman yang berat. Mengikut sistem kerah, setiap kampung akan
menyediakan sebilangan lelaki dan kuda sebagai kenderaan rasmi dalam masa 3
bulan pada musim bunga dan 3 bulan pada musim buah.
Kerja paksa ini
adalah satu beban dan menyusahkan petani-petani malahan mereka sering tertekan
dan dikenakan cukai yang berlebihan. Masyarakat petani juga mendapat pendidikan
hal ini kerana bakufu dan tuan-tuan tanah amat mementingkan pendidikan.
Tuan-tuan tanah
telah menyediakan sekolah-sekolah kampung (terakoya) di kampung-kampung.
Terdapat hampir 60 ribu terakoya telah didirikan untuk keperluan anak petani
dan diberikan kemahiran-kemahiran asas seperti membaca, menulis dan mengira.
Apabila ekonomi
wang berkembang maka golongan petani telah bertukar kepada kegiatan lain
seperti membuat sutera, kertas, lilin, menekup dan lain-lain. Mereka juga
merebut peluang untuk menjadi peruncit, peminjam wang, menenun dan membuka
kilang kain. Biarpun sesetengah mereka mencapai kekayaan tetapi tidak mudah
bagi mereka mendapat pengiktirafan sosial.
6. Artisan
(tukang-tukang mahir)
Golongan artisan
berada di bawah petani dan mereka mempunyai kemahiran dalam pembuatan pedang.
Selain itu, mereka juga terdiri daripada tukang kayu, tukang rumah,
tukang besi, tukang tembaga, tukang timah, penenun, pembuat kertas dan
lain-lain.
Tukang-tukang
yang mahir akan diberi gaji yang baik dan diberi rumah yang baik, seperti
tukang kayu telah diberi gaji sebanyak 500 koku dan dibenarkan menggunakan
pedang. Pendapatan golongan artisan lebih tinggi daripada petani walaupun
status mereka lebih rendah dan agak sukar bagi mereka mengubah taraf sosial.
Manakala
petukang-petukang yang tidak mempunyai kemahiran khusus akan dilayan dengan
buruk dan bekerja untuk daimyo.
7. Pedagang
(chonin)
Kelas pedagang
(chonin) terletak dibawah golongan petani dan artisan serta mereka dipandang
rendah kerana pekerjaan mereka dianggap keji. Namun keadaan aman di Jepun telah
menyebabkan ekonomi Jepun telah berkembang dan para pedagang telah berjaya
mengumpul harta yang banyak. Pada tahun 1760, terdapat kira-kira 200 keluarga
saudagar yang mempunyai harta dan kekayaan melebihi sebilangan besar daimyo.
Mereka telah
menguasai perniagaan tempatan yang komplek seperti jualan barang, gudangan,
pengangkutan, broker beras, pertukaran wang dan pinjaman wang. Mereka juga
menguruskan spekulasi pelbagai jenis perniagaan. Mereka sentiasa mengekalkan harga yang tinggi dan
mengaut keuntungan yang besar.
Mereka menjadi
kaya raya walaupun status mereka kekal di bawah dalam sistem feudal. Mereka kemudian telah memperbaiki status
diri mereka. Antara keluarga saudagar yang terkenal ialah Mitsui, Kamoike dan
Sumitomo. Mereka ini telah memperkenalkan budaya pengurusan baru yang
kemudiannya menjadi syarikat besar.
Kesimpulan
Pada abad ke-19
dan ke-20 memperlihatkan satu perkembangan menarik dalam sejarah sistem feudal
di Jepun. Sejak sekian lama, negara Jepun telah melaksanakan dan menerima
sistem feudal sebagai sebahagian daripada sistem sosial mereka. Di Jepun tidak
berlaku moboliti sosial di mana status sosial mereka kekal sehingga pemodenan
Meiji.
Peranan pembesar
mempunyai pengaruh yang sangat besar meskipun mereka meletakkan maharaja
sebagai yang tertinggi. Walau bagaimanapun, kesan daripada perubahan-perubahan
yang berlaku pada abad ke-19 dan ke-20 telah menyebabkan sistem feudal menerima
tekanan yang cukup besar.
Pengaruh Barat
yang hadir di Jepun telah menyebabkan sistem feudal dianggap sebagai sistem
yang tidak sesuai lagi. Selepas pemodenan Maharaja Meiji, negara Jepun mula
berubah menjadi negara yang moden setanding dengan negara Barat dan ini telah
menyelamatkan mereka daripada dijajah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan