MASYARAKAT AGRARIA DI CHINA
Sebelum campur tangan kuasa-kuasa Barat, sistem feudal
diamalkan di China. Masyarakat China mengamalkan kegiatan ekonomi feudal
seperti bercucuk tanam secara kecil-kecilan dan berbentuk secara sara diri. Di
samping itu, masyarakat petani China juga menghasilkan barangan kraf tangan
yang amat diperlukan.
Negara China mempunyai keluasan hampir 9.6 juta km persegi
tetapi tanah yang sesuai untuk kegiatan pertanian hanyalah 15% sahaja. Kawasan
lain terdiri daripada pergunungan dan gurun di sebelah barat dan utara China.
Negara China juga sebahagian besarnya berada dalam kawasan hawa sederhana
mengalami perubahan iklim dari kawasan tropika ke kawasan sejuk. Walaupun
berkeadaan demikian, negara China masih lagi mampu mengeluarkan makanan
daripada pelbagai jenis tanaman untuk kegunaan masyarakat dan untuk dieksport
ke negara luar.
Terdapat beberapa faktor yang telah mendorong perkembangan
pertanian di negara China menjelang abad ke-16 M dan abad ke-17 M seperti
kegiatan ekonomi sara diri, sistem pengairan, pertanian komersial, kemajuan
dalam teknologi pertanian dan pengenalan kaedah baru pertanian.
1. Kegiatan Ekonomi Sara Diri / Tanaman Utama
Sistem ekonomi yang diamalkan pada abad ke-16 M dan ke-17 M
adalah bercorak sara diri. Sebahagian besar daripada penduduk China terlibat
dalam aktiviti bercucuk tanam. Pada zaman pemerintahan Dinasti Ming dan Qing,
negara China masih dipanggil masyarakat agraria iaitu meliputi 85% daripada
keseluruhan penduduk dan tinggal di desa.
Tanaman utama yang diusahakan oleh masyarakat agraria di
China ialah padi sawah yang banyak ditanam di kawasan selatan China iaitu di
hilir lembah Sungai Yangtze dan Sungai Kuning. Penanaman padi jenis baru telah
diperkenalkan dari selatan Vietnam yang boleh ditanam dua kali setahun dan tidak
memerlukan air yang banyak. Ini telah memboleh padi ini di tanam di kawasan
tanah tinggi yang kekurangan air.
Tanaman baru yang lain turut diperkenalkan seperti tanaman
kekacang, ubi kentang manis, barli, jagung, kapas, tebu, teh, gandum, barli,
sekoi, milet, kaoliang, barli, dan oat. Tanaman baru ini telah meningkatkan
lagi hasil pengeluaran pertanian masyarakat agraria. Masyarakat China yang
tinggal di tanah tinggi Utara China, mereka menanam padi huma, sekoi dan
kekacang terutama di sekitar Sungai Heilongjiang.
Gandum merupakan tanaman makanan utama di bahagian dataran
tinggi di utara China. Tanaman gandum ditanam secara meluas di wilayah
Shantung, Kansu, Shensi dan bahagian utara Anhui dan Hupeh.
Milet ditanam secara meluas di bahagian utara khususnya di
wilayah Kansu, Shensi dan Shansi. Koaling merupakan tanaman yang ditanam secara
meluas di bahagian timur laut China. Selain itu, tanaman bijirin lain seperti
barli dan oat juga ditanam di bahagian-bahagian tertentu di negara China.
Sejak zaman awal pemerintahan beraja, tanah pertanian di
negara China dimiliki oleh maharaja dan dikurniakan kepada golongan bangsawan
atau pembesar (tuan tanah). Tanah merupakan satu aset yang amat berharga yang
dapat menentukan status sosial seseorang itu. Tuan-tuan tanah ini akan
memberikan kepada golongan rakyat masyarakat agraria untuk diusahakan.
Penguasaan tanah pertanian oleh golongan tuan tanah menyebabkan petani menjadi
penyewa dan serf
2. Petempatan
Masyarakat agraria China tertumpu di kawasan timur laut China
dengan Mongolia. Kawasan ini mempunyai dataran loes yang subur di sepanjang
Sungai Kuning. Di sebelah selatan pula terdapat pula Sungai Yangtze (sungai
terbesar di China) yang banyak memberi sumbangan kepada masyarakat agraria di
China.
3. Pengetahuan Menjaga Kesuburan Tanah
Perkembangan masyarakat agraria di China dalam bidang
petanian juga adalah disebabakan mereka mempunyai pengetahuan dalam menjaga dan
memelihara tahap kesuburan tanah. Untuk menjaga kesuburan tanah, mereka
menggunakan sistem penggiliran tanaman dan menggunakan baja asli yang
diperolehi daripada najis ternakan.
4. Sistem Pengairan
Perkembangan pertanian di negara China mempunyai kaitan yang
rapat dengan kemajuan dalam teknologi pengairan. Petani-petani di China
mempunyai kemahiran dalam membina terusan dan mengawal aliran air sungai.
Terusan dibina untuk menyalurkan air ke kawasan pertanian, mengelakkan banjir
dan untuk mengangkut hasil pertanian ke bandar-bandar.
Petani-petani China juga mempunyai kemahiran dalam membina
teres di lereng-lereng bukit bagi membolehkan penanaman padi dijalankan.
Bekalan air disalurkan ke kawasan pertanian daripada terusan dan kolam takungan
air dengan menggunakan kaedah mengepam air. Pam ini digerakkan dengan
menggunakan tenaga binatang ataupun manusia.
Bagi mengairi kawasan pertanian yang jauh daripada sumber
air, maka kaedah empangan telah digunakan. Selain itu, tambak juga dibina untuk
mengelakkan banjir memusnahkan kawasan pertanian. Projek-projek pengairan juga
dijalankan oleh pemerintah untuk mengairi kawasan pertanian seperti projek
pengairan di Sichuan mengairi kawasan tanah pertanian seluas 2 juta hektar.
5. Pertanian Komersial
Menjelang abad ke- 16 M dan 17 M, kegiatan ekonomi
kapitalisme mula bertapak di China dan mula berkembang pesat terutama semasa
pemerintahan Maharaja Chien-Lung pada abad ke-18 M. Perkembangan ini
menyebabkan sistem penanaman komersial mula diperkenalkan seperti tembakau,
kapas, mulberi dan tebu.
Tanaman tembakau ditanam secara besar-besaran di wilayah
Kwangsi dan Fukien. Tanaman kapas ditanam secara meluas di wilayah Kiangsu,
Sungkiang, Tai-tsang dan Tung-chou. Kapas telah mendapat permintaan yang tinggi
dalam pasaran. Tanaman tebu pula dikeluarkan di daerah Kwangtung, Fukien dan
Szechwan.
Penanaman pohon mulberi diusahakan di wilayah Kwangtung.
Daun mulberi telah dijadikan makanan ulat sutera.
6. Kemajuan Dalam Teknologi Pertanian
Penciptaan dan penggunaan peralatan baru telah membawa
kepada kemajuan yang pesat dalam aktiviti pertanian di negara China, antaranya
tenggala penabur benih, penyisir tanah, penggiling, kolar kuda dan kereta
sorong beroda dua.
Tenggala penabur benih digunakan untuk membina alur, parit
atau lekuk memanjang di permukaan tanah. Selain itu, alat ini juga digunakan
untuk menabur benih dalam barisan yang lurus dan sekata.
Selain tenggala kayu, mereka turut mencipta peralatan lain
seperti penyisir tanah, penggiling dan kolar kuda. Kereta sorong beroda dua
telah dicipta untuk memudahkan pengangkutan barang-barang atau hasil pertanian.
Peralatan-peralatan ini menyebabkan berlaku peningkatan yang amat ketara dalam
pengeluaran basil pertanian.
7. Pengenalan Kaedah Baru Pertanian
Peningkatan hasil pertanian juga berlaku kesan daripada
pengenalan kaedah baru dalam bidang pertanian, antaranya pengenalan sistem
penanaman bergilir. Sistem ini telah diamalkan di China sejak zaman Han lagi.
Menerusi sistem penanaman bergilir, kesuburan tanah pertanian dapat dipelihara.
Di samping itu, kaedah pertanian yang lebih baik seperti
tanaman dua pusingan dan pengkhususan dalam tanaman juga diamalkan. Penggunaan
kaedah-kaedah baru menyebabkan pembukaan tanah-tanah baru untuk pertanian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan