Tema 1: Masyarakat
Soalan: Huraikan perkembangan pertanian di Belanda
Pada abad ke-17 dan ke-18, Belanda muncul sebagai sebuah
negara yang pesat membangun ekonominya ekoran perkembangan pesat
kegiatan pertaniannya. Selain tanahnya yang subur, peranan Sungai Rhine dan
Sungai Maas banyak membantu meningkatkan hasil pengeluaran pertanian di
Belanda.
Kegiatan pertanian di Belanda berkembang pesat dengan adanya
sistem pengairan yang baik. Menjelang pertengahan abad ke-17, penyaliran tanah
telah dilakukan secara besar-besaran di Belanda. Sistem pengairan yang tersusun
ini berjaya membekalkan air untuk menyiram tanaman. Kesan penggunaan teknologi
pengairan ini banyak membantu meningkatkan hasil keluaran pertanian
Belanda.
Petani-petani di Belanda juga telah memperkenalkan sistem
tanaman bergilir. Melalui system ini, tanah pertanian yang sudah
dituai hasilnya tidak biarkan begitu sahaja. Tanah ini kemudiannya ditanam
dengan tanaman selingan seperti lobak, kacang pis dan bijirin. Kaedah ini
membolehkan petani di Belanda membekalkan hasil pertanian secara berterusan
selain mampu mengekalkan kesuburan tanah.
Selain menjalankan kegiatan pertanian, petani di Belanda
turut menjalankan kegiatan penternakan terutamanya lembu. Belanda memiliki
kawasan yang sesuai untuk memberi makan lembu-lembu ternakan bagi menjadikan ia
lebih gemuk. Lembu-lembu yang gemuk ini kemudiannya disembelih sebelum
dieksport ke bandar-bandar di wilayah selatan. Perdagangan lembu ini
juga telah membantu merangsang perkembangan ekonomi Belanda.
Walaupun hasil keluaran pertanian di Belanda meningkat,
tetapi mereka masih mengimport bijirin seperti gandum dari luar terutamanya
Baltik kerana permintaan yang tinggi dan jumlah penduduknya yang semakin
meningkat. Perdagangan gandum dengan Baltik telah menyediakan
peluang pekerjaan kepada penduduk Belanda. Perdagangan gandum ini juga turut
memberi impak positif kepada bidang lain terutama perkapalan, kelasi dan
barangan.
Kepesatan kegiatan pertanian di Belanda banyak dibantu oleh
kesuburan tanah, iklim sederhana yang bersesuaian serta inovasi dalam bidang
pertanian. Perkembangan kegiatan pertanian ini akhirnya menyumbang kepada
perkembangan ekonomi perdagangan dan perkapalan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan