PERKEMBANGAN MASYARAKAT AGRARIA DI BELANDA
Perkembangan Masyarakat
Agraria di Belanda
Mengikut pengembara Eropah, masyarakat agraria di Belanda
mula mengalami perkembangan yang pesat dalam
bidang pertanian pada abad ke-16 dan ke-17 M. Perkembangan ini dapat dilihat
melalui penggunaan kaedah dan teknik pertanian yang lebih maju berbanding
dengan negara-negara Eropah yang lain, pengenalan pelbagai jenis tanaman baru
dan turut menjadi pembekal produk tenusu ke negara-negara lain.
Perkembangan masyarakat agraria di Belanda dapat dilihat
melalui perkembangan pertanian, penternakan, hortikultur, kegiatan menebus
tanah, dan penggunaan teknologi berkaitan dengan teknik serta kaedah pertanian.
1. Perkembangan kegiatan pertanian
Kegiatan pertanian telah dijalankan secara lebih giat pada
abad ke-17, akibat berlakunya pertambahan penduduk yang pesat terutama di
kawasan bandar negara Belanda. Masyarakat petani terutama disebelah utara
Belanda telah mengusahakan kegiatan pertanian secara kecil kecilan dan secara
sistem pertanian padang terbuka. Hasil pertanian ini untuk pasaran tempatan di
bandar-bandar negara Belanda sahaja.
Antara tanaman yang ditanam ialah sayur-sayuran seperti
bawang, biji kol, ketumbar, lobak dan teasel. Mengikut KHD Halley, masyarakat
Belanda merupakan masyarakat yang paling banyak makan sayur-sayuran di Eropah.
Selain itu, masyarakat Belanda juga turut menanam tanaman
lain seperti barli, gandum, semanggi, kekacang, biji kol, mader dan hem.
Barli merupakan tanaman dominan di Belanda, namun
pengeluarannya semakin merosot menjelang abad ke-16 dan ke-17 M. Selepas itu,
gandum telah menjadi penting menjelang abad ke-17 M. Gandum telah ditanam oleh
petani secara intensif dan lebihan hasil akan dijual. Tanaman semanggi pula
ditanam dibahagian utara Belanda pada tahun 1644 M untuk dijadikan sebagai
makanan binatang ternakan terutama lembu. Tanaman kekacang seperti beans dan
kacang peas merupakan tanaman penting di Belanda.
Manakala biji kol pula ditanam oleh petani dibahagian utara
Belanda dan diproses untuk menghasilkan minyak. Hampasnya pula telah dijadikan
makanan binatang ternakan pada musim sejuk. Tanaman ini mula berkembang dan
ditanam di Zeeland, Bogaurden, Friesland, Artois, Rhineland, Schleswig dan
Holstien.
Tanaman mader pula ditanam secara meluas pada abad ke-13 dan
ke-14 M apabila industri tekstil mula muncul di Leiden dan bandar-bandar lain
di Belanda di mana tanaman ini telah dijadikan sebuk pewarna dalam industri
tekstil. Tanaman ini ditanam secara meluas di bahagian barat daya Belanda,
Flanders, dan Brabant Barat. Tanaman Mader telah dieksport ke pelabuhan di
bahagian selatan dan timur England. Pulau Schouwen telah menjadi pusat tanaman
mader yang penting menjelang tahun 1580-an hingga pertengahan abad ke-17 M.
Menjelang akhir abad ke-17 M, telah terdapat 50 kilang memproses mader dan ini
telah menjadikan Rotterdam muncul sebagai pusat pengumpulan dan pengedaran
mader di Belanda.
Penanaman hem pula ditanam dengan meluas di wilayah-wilayah
Holland, Utrecht, Alblasserwaard, Lopikerwaard dan Krimpenerwaard pada abad
ke-16 M. Tanaman ini digunakan untuk membuat barangan daripada kanvas, jala dan
tali kapal.
2. Perkembangan Bidang Penternakan
Pada abad ke-17 M, aktiviti penternakan lembu juga
dijalankan secara giat di bahagian timur Belanda seperti sekitar bandar-bandar
Hertogenbosch, Lier dan Diest. Perkembangan bidang penternakan didorong oleh
berlakunya pertambahan penduduk di Belanda dan seterusnya menyebabkan
meningkatnya permintaan untuk bekalan daging lembu pada abad ke-16 M dan abad
ke-17 M. Ini telah menyebabkan petani-petani di Holland dan Friesland memberi
tumpuan kepada sektor penternakan.
Bilangan ternakan telah meningkat dari 14 ekor pada akhir
abad ke-16 M kepada 24 ekor pada pertengahan abad ke-17 M. Lembu-lembu tenusu
yang diternak di Belanda daripada baka lembu tenusu yang terbaik di Eropah. Penternakan
lembu bertambah maju dengan adanya penanaman rumput berkualiti dan pengenalan
tanaman bergilir.
Pertambahan penduduk di bandar telah mendorong peningkatan
permintaan susu lembu di Belanda iaitu 2000 liter susu setahun sekitar tahun
1570. Pada tahun 1660, kandang-kandang lembu telah dilengkapi dengan peralatan
bagi memproses susu lembu terutama di daerah Amstelland.
Penternakan kambing juga dijalankan di kawasan sekitar Pulau
Taxel dan Wieringan dan Pulau Grind. Penternakan ini dijalankan untuk menghasilkan
bekalan keju kepada penduduk di bandar-bandar dan luar bandar.
Belanda telah menjadi sebuah negara industri berasaskan
tenusu dalam menghasilkan keju dan mentega yang terbesar di dunia serta
berkualiti tinggi sejak abad ke-16 M dan abad ke-17 M terutama di Holland dan
Friesland. Produk ini akan dieksport ke England, Perancis, Sepanyol dan kawasan
pedalaman Jerman. Keju yang dihasilkan dengan menggunakan teknologi yang lebih
maju dan tinggi. Hasil keju ini memberi sumbangan pendapatan tahunan kepada
Belanda sebanyak 6.4 juta pound. Manakala mentega pula telah dihasilkan di
daerah Rijnland dan Delfland. Bandar Leidin telah menjadi pusat pusat
pengeluaran mentega yang bermutu tinggi di Belanda.
3. Perkembangan Bidang Hortikultur
Bidang ini telah berkembang kesan daripada berlakunya
pertambahan penduduk, peningkatan taraf hidup dan kemajuan dalam sistem
pengangkutan air. Pusat-pusat hortikultur telah muncul di bandar-bandar seperti
Leiden, Delft, De Langedijk dan Enkhuizen. Bidang ini meliputi penanaman
sayur-sayuran, buah-buahan dan bunga.
Sayur-sayuran seperti bawang, lobak, ketumbar, lobak merah,
parsnip dan biji sawi telah ditanam secara meluas di daerah De Langedijk.
Tanaman kubis dan lobak ditanam secara bergilir-gilir dengan sayuran lain di
kawasan De Streek di daerah Enkuizen. Buah-buahan pula telah ditanam di kawasan
Aalsmeer dan Boskoop seperti strawberi. Sayur-sayuran dan buah-buahan ini telah
dihantar ke Amsterdam dan Leiden melalui pengangkutan air.
Pada abad ke-17 M, tanaman bunga telah dijalankan seperti
tulip dan hop. Bunga tulip telah mendapat permintaan yang tinggi dan ini telah
mendorong peningkatan harganya. Bunga hop pula telah ditanam dengan meluas di
kawasan sepanjang sungai Maas. Bunga hop telah digunakan dalam industri
penghasilan minuman keras (beer) di bandar-bandar Haarlem, Delft dan Gouda.
Terdapat 21 buah kilang minuman keras di Amsterdam dan Rotterdam antara tahun
1600-1621 M.
4. Perkembangan Kegiatan Menebus Guna Tanah
Perkembangan aktiviti pertanian di Belanda mempunyai
pertalian yang rapat dengan kegiatan menebus guna tanah kerana sebahagian besar
tanah pertanian yang subur berada di bawah paras laut. Ini telah menyebabkan
kawasan pertanian yang terletak di pinggir laut ditenggelami air laut. Keluasan
tanah yang ditebus guna untuk pertanian di negara Belanda telah dijalankan dari
tahun 1545 sehingga tahun 1814. Muara Sungai Middeizee ditambak bagi tujuan
menebus guna tanah tersebut untuk tujuan pertanian.
Menjelang pertengahan abad ke-17 M, sebahagian besar tanah
di wilayah Zeeland di tebus guna untuk tujuan pertanian. Di seluruh wilayah
Zeeland, tanah yang ditebus guna meningkat kepada 49%, iaitu daripada 85 000
hektar kepada 127 000 hektar menjelang tahun 1600 dan 1680. Usaha penambakan
tanah dilakukan di Oud-Beijerland (1557) dan Nieuw-Beijerland (1582)
menyebabkan tanah seluas 2300 hektar ditebus guna.
5. Perkembangan Teknologi Pertanian
Kegiatan pertanian semakin berkembang kerana berlakunya
kemajuan yang pesat dalam teknik dan kaedah pertanian di Belanda menjelang abad
ke-16 M dan ke-17 M berbanding dengan negara-negara Eropah yang lain. Antara
perkembangan yang berlaku dalam bidang teknologi pertanian ini adalah kajian
mengenai sistem pertanian Belanda, pengenalan sistem tanaman bergilir, sistem
penanaman rumput ternakan, sistem batas, sistem penanaman deretan, teknik
memelihara kesuburan tanah dan penciptaan peralatan pertanian.
Kajian Mengenai Sistem Pertanian Belanda telah dijalankan
terutama mengenai teknik dan kaedah pertanian yang di perkenalkan oleh
masyarakat Belanda dijalankan oleh sarjana-sarjana dari England seperti Sir
Richard Weston, Lord Townshend, Bakewell, Sir John Sinclair, Thomas Radcliff,
Andrew Fletcher of Saltoun, James Meikle, Bartholomew Rocque, Patrick Neill dan
William Speechley. Hasil kajian mereka, menunjukkan petani-petani di Belanda
telah memperkenalkan sistem tanaman giliran, sistem penanaman rumput seperti
Clover, Lucerne, Burnet, Timothy Grass dan Turnip dan mencipta peralatan
seperti tenggala dan mesin menampi.
Petani-petani Belanda merupakan perintis dalam
memperkenalkan sistem penggiliran tanaman. Dalam sistem penggiliran yang
diamalkan di Belanda, penanaman secara intensif telah dijalankan di mana tanah
rang telah ditanam dengan kacang tanah, ubi-ubian, jagung dan bijirin seperti
gamdum, barli, oat yang menjadi sumber utama Belanda.
Sistem penggiliran ini melibatkan penanaman jagung musim
sejuk (satu tahun), jagung musim panas (satu tahun), tanah rang (satu tahun)
dan penanaman rumput (3 atau 6 tahun) diamalkan. Sistem penggiliran ini telah
diamalkan di bandar Ghent (1323), St. Pieters ter Aalst (1368) dan Lede yang
terletak di Alost pada tahun 1372. Sistem penggiliran tanaman juga diamalkan
secara meluas di wilayah Waes (Belanda) pada tahun 1644. Sistem tanaman ini
masih dipraktikkan di ladang-ladang yang terletak di selatan Edegem di wilayah
Brabant pada tahun 1800. Kaedah ini akan mengembalikan kesuburan tanah dan meningkatkan lagi hasil pengeluaran
pertanian.
Petani-petani Belanda juga memperkenakan sistem penanaman
rumput ternakan untuk ternakan pada tanah rang. Tanaman rumput seperti turnip
ditanam di kawasan tanah rang selepas jagung dituai. Terdapat bukti mengenai
penanaman tanaman rumput di tanah rang pada pertengahan abad ke-15 M iaitu pada
tahun 1498 di Louvain.
Petani-petani di Belanda juga memperkenalkan sistem menanam
dengan membuat batas. Melalui sistem ini, saliran yang baik dapat diwujudkan
bagi memastikan tanaman tumbuh dengan subur. Bagi memelihara kesuburan tanah,
kedudukan batas diubah setiap tahun. Sistem penanaman di atas batas menyebabkan
penanaman dalam deretan atau jajaran di perkenalkan. Sistem Penanaman Deretan
diamalkan bagi tanaman seperti jagung, mader, hop, biji kol dan tembakau.
Sistem penanaman dalam deretan bagi tanaman komersial digunakan sejak abad
ke-14 M.
Petani-petani Belanda juga mempunyai pengetahuan yang tinggi
dalam memelihara kesuburan tanah. Mereka mengekalkan kesuburan tanah pertanian
dengan melakukan aktiviti berikut melakukan pemugaran tanah pertanian,
menggunakan baja asli dan membuang rumput dan tanaman perosak. Petani-petani
mengekalkan kesuburan tanah dengan menggunakan baja asli yang terdiri daripada
najis ternakan yang diperolehi daripada kawasan-kawasan penternakan lembu.
Petani-petani di Belanda juga memberi sumbangan dalam
penciptaan peralatan pertanian. Antara peralatan yang dicipta termasuklah
sejenis tenggala baru yang digunakan oleh petani di Gelderland, mencipta
tenggala beroda dan mesin untuk menampi bijirin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan