Ahad, 7 Julai 2013

PENYATUAN JERMAN

BAB 2: PEMERINTAHAN DAN PENTADBIRAN

PENYATUAN JERMAN

Pengenalan


1.     Sebelum abad ke-19M, Jerman mempunyai 360 negeri kecil di bawah pemerintahan masing-masing. Pada awal abad ke-19M, Jerman telah dikuasai oleh Perancis di mana Perancis telah melucutkan takhta raja serta mengubah sempadan Eropah. Perancis telah membentuk semula struktur pemerintahan Jerman dan mencantum negeri-negeri kecil di Jerman.

2.     Selepas Perancis kalah pada tahun 1815, Persidangan Viena telah dibuat dan mereka bersetuju untuk mencantumkan Jerman kepada 39 buah negeri sahaja (Pengabungan Jerman) yang terdiri daripada Austria, Prusia, Bavaria, Wurtemberg, Honaver dan Saxony.

3.     Sebelum tahun 1871, penyatuan Jerman tidak berjaya kerana wujud beberapa faktor penghalang seperti kebangkitan revolusi pada tahun 1848, persaingan antara kuasa Austria dan Prusia iaitu yang mana lebih dominan jika Jerman disatukan dan ramai golongan nasionalis Jerman berselerak di Eropah malah ada yang telah menetap di Amerika.

4.     Walaupun wujud faktor-faktor penghalang, usaha untuk penyatuan Jerman tetap wujud bermula pada tahun 1815 iaitu selepas tamat perang Napoleon melalui Kongres Vienna. Dalam Kongres Vienna 1815, menetapkan Persekutuan Jerman sebagai negeri penampan kepada penaklukan Perancis dan keadaan ini mendorong kepada kerjasama ekonomi yang turut menyemai penyatuan dalam bidang politik.

5.     Pada tahun 1818, Kesatuan Kastam (Zollverein) telah ditubuhkan di Prusia. Persatuan ini telah berusaha menghapuskan cukai antara wilayah bagi menggalakkan aktiviti perdagangan. Ini telah mendorong negeri-negeri di Jerman untuk menyertai persatuan pada tahun 1854 kecuali Austria. Perkembangan perdagangan ini telah menyebabkan negeri di Jerman menganggap Prusia sebagai pemimpin politik Jerman.

Proses Penyatuan Jerman

1.     Prusia dilihat sebagai memainkan peranan efektif ke arah penyatuan Jerman, apabila William 1 ditabalkan sebagai Raja Prusia yang baru pada 1861 percaya Prusia boleh memimpin penyatuan Jerman. Beberapa langkah ke arah tersebut telah dilaksanakan seperti memperbesarkan angkatan tentera melalui penambahan pegawai tentera, rekrut tentera yang ramai dan memanjangkan perkhidmatan sukarelawan kepada 3 tahun.

2.     Untuk merealisasikan tujuan tersebut, William 1 telah melantik Otto von Bismark, iaitu seorang junkers (tuan tanah) yang pernah menjadi ahli parlimen (1847), duta Prusia ke Rusia dan Perancis pada tahun 1859 dan telah dilantik sebagai Perdana Menteri yang baru pada tahun 1862. Tugas utama Bismark ialah menjinakkan ahli-ahli parlimen Prusia supaya patuh kepada kehendak  kerajaan dan raja. Namun apabila parlimen menolak permintaan William 1, Bismark telah bertindak secara lebih agresif dalam merealisaikan proses penyatuan Jerman .

3.     Sebagai Perdana Menteri, Bismark merancang untuk mengukuhkan pasukan tentera dan memperkasakan ekonomi Prusia agar dapat mengurangkan pengaruh Austria dalam kalangan negeri-negeri Jerman.

4.     Untuk melaksanakan dasar ini, Bismark melibatkan Prusia dalam tiga peperangan. Peperangan pertama Bismark ialah menentang Denmark atas isu daerah Schleswig dan Holstein yang diperintah oleh Raja Denmark. Kedua-dua daerah ini mempunyai majoriti bangsa Jerman yang telah menyatakan sokongan kepada Bismark. Untuk mencapai tujuan tersebut, Bismark telah memujuk Austria supaya bersama memerangi Denmark pada 1864. Perang Prusia-Denmark ini telah ditamatkan dengan Perjanjian Gastein pada Ogos 1865. Mengikut perjanjian ini menyaksikan Austria diberi hak untuk mentadbir Holstein manakala Prusia mengawal Schleswig.

5.     Namun demikian usaha penyatuan Jerman tidak dapat dilakukan sekiranya Austria tidak dapat ditakluki. Justeru itu, Bismark mula mendapat sokongan daripada sekutunya di Eropah untuk membantu. Beliau telah menawarkan bantuan kepada Rusia ketika Rusia berhadapan dengan pemberontakan di Poland. Manakala di Itali pula, Bismark telah menandatangani perjanjian pada 1866, iaitu Prusia akan membantu Itali untuk mendapatkan wilayah Venetia yang dikuasai oleh Austria.

6.     Bismark mendapat persetujuan William 1 serta ketua-ketua tentera untuk memerangi Austria namun ditentang oleh Parti Progresif yang menguasai parlimen. Bagi mengatasi senario tersebut, Bismark telah bertindak memberikan hak mengundi kepada semua lelaki dewasa dalam pilihanraya dan bukannya hanya kepada golongan lelaki bangsawan seperti yang diamalkan sebelum ini. Perubahan ini menyebabkan Parti Progresif kehilangan banyak kerusi di parlimen.

7.     Bagi meneruskan misinya, Bismark telah mengistiharkan perang ke atas Austria apabila menghantar tentera ke Holstein pada 15 Jun 1866 dengan menuduh pihak Austria melanggar Perjanjian Gastein iaitu kerajaan Austria telah melayan dengan buruk orang-orang Jerman yang berada di Austria. Perang ini mengambil masa selama 7 minggu, oleh sebab itu ia dikenali Perang Tujuh Minggu.

8.     Tentera Austria telah dikalahkan di Sedowa dan perang ini telah ditamatkan dengan Perjanjian Prague pada tahun 1866. Mengikut perjanjian ini Austria dikeluarkan daripada kesatuan ini serta Austria serah Holstein kepada Prusia dan wilayah Venetia diserahkan kepada Itali. Kejayaan ini telah membolehkan Bismark mengabungkan semua negeri-negeri utara Jerman menjadi Pergabungan Jerman Utara.

9.     Prusia berhadapan dengan Perancis dalam usaha menyatukan negeri-negeri Jerman. Napoleon III tidak akan menyokong rancangan Prusia memimpin penyatuan Jerman. Selepas tamat Perang Prusia-Austria, Perancis mula bimbang kebangkitan Prusia sebagai kuasa kuat di Eropah. Ini telah mendorong Perancis menuntut agar negeri-negeri Selatan Jerman diserahkan kepada Perancis sebagai balasan pertolongan Perancis kepada Prusia mengalahkan Austria.

10.  Dengan menggunakan tipu helah, Bismark telah berjaya memujuk negeri-negeri Selatan Jerman bersatu dengan Prusia. Selepas itu, berusaha memujuk sekutu-sekutu Perancis supaya tidak membantu Perancis. Dalam meneruskan misinya Bismark telah melancarkan perang ke atas Perancis pada Julai 1870. Perancis berjaya dikalahkan oleh Prusia pada tahun 1871 dan perang ini ditamatkan melalui Perjanjian Frankfurt.

11.  Mengikut perjanjian ini, Perancis serah wilayah Alsace dan Lorraine serta membayar ganti rugi perang sebanyak 3 ribu juta kepada Prusia. Selepas berjaya mengalahkan Perancis, Bismark telah menyatukan Jerman menjadi Empayar Jerman yang mengandungi 25 negeri kecuali Austria.

12.  Pada 18 Januari 1871, Raja William 1 dilantik sebagai Kaiser Jerman manakala Bismark menjadi Cancellor (Perdana Menteri). Walaupun setiap negeri mempunyai pemerintah sendiri dan ada sesetengahnya mempunyai tentera dan pegawai diplomatik, namun Kaiser mengetuai pentadbiran pusat. Kaiser berkuasa untuk mengarahkan tentera sewaktu peperangan dan menentukan dasar luar.

13.  Selepas berjaya menyatukan Jerman (1871), Bismark berusaha untuk mewujudkan keamanan di dalam dan luar negeri Jerman, membangunkan negara dan mengamalkan dasar berhati-hati dalam menjalinkan hubungan persahabatan dengan negara-negara Eropah. Bismark juga telah menanda tangani perjanjian 3 kuasa iaitu antara Prusia dengan Itali dan Austria yang dikenali sebagai Perikatan Bertiga. Tujuannya untuk menggelakkan daripada Perancis menyerang Jerman.

14.  Bismark juga telah memperkenalkan perlembagaan Jerman dengan menubuhkan parlimen yang mengandungi Majlis Persekutuan dan Diet Maharaja. Bismark juga berusaha menyekat pengaruh gereja, menyeragamkan sektor ekonomi, membangunkan sektor perindustrian, memajukan sektor pertanian dan perdagangan serta pemulihan sosial.

PENYATUAN ITALI

TEMA 2: PEMERINTAHAN DAN PENTADBIRAN

PENYATUAN ITALI



Pengenalan


Negara Itali dan Jerman merupakan contoh negara bangsa yang dibentuk pada abad ke 19.Itali pada mulanya terbahagi kepada beberapa wilayah. Di bahagian  Utaranya, beberapa wilayah seperti Venetia dan Lombardy masih di kuasai oleh Austria. Orang Itali mahu menyatukan wilayah-wilayah mereka di bawah sebuah  pemerintahan dan menghalau orangAustria dari bumi Itali  Dengan menggunakan amalan realpolitik, Count Camillio Benso di Cavour berusaha menyatukan Itali menjadi sebuah negara.  Count Camillio Cavour amat menyanjung penyatuan Itali berlandaskan pemerintahan monarki dan berusaha mewujudkan kerjasama dengan Napoleon III (Pemerintah Perancis) bagi menentang Austriapada tahun 1860.


Proses Penyatuan

1.      Gerakan untuk menyatukan Itali bermula sejak tahun 1815 oleh kelas Pertengahan Itali.

2.      Faktor pertama ialah penduduk Perancis pada era Napoleon Bonaparte di Itali menyaksikan sistem pentadbiran yang berkesan perlu diwujudkan. Napoleon   memperbetulkan undang-undang supaya lebih adil kepada semua kelas. Keistimewaan golongan aristokrat dihapuskan & golongan menengah yang rajin berusaha dinaikkan pangkat  yang sama seperti golongan aristokrat.

3.      Faktor kedua berkaitan dengan kepentingan golongan saudagar. Bagi golongan saudagar, mereka percaya dengan penyatuan Itali, dapat memberi faedah dalam bidang ekonomi. Faedahnya termasuklah cukai kastam dapat dihapuskan, pasaran lebih luas, pembinaan jalan pengangkutan diseluruh Itali & penyediaan prasarana pelabuhan yang lebih baik. Itali juga dapat menjadi penghubung antara England dengan India apabila Terusan Suez dibuka.

4.      Faktor ketiga ialah semangat untuk menyatukan Itali  dikuatkan lagi dengan sentimen anti- Austria yang menguasai Lombardy & venetia serta menempatkan tentera di 4 kawasan strategik di Itali iaitu Verona, Mantua, Peschiera & Legnano.  

5.      Pada peringkat awal, antara tahun 1815 hingga 1830, kemungkinan berperang  secara terbuka dengan penjajah Austria agak  sukar dilakukan. Mereka yang menentang terpaksa bergerak di bawah tanah dalam bentuk kongsi gelap. Kongsi gelap yang terpenting ialah Carbonari. Walaupun Carbonari melakukan 2 kali penentangan pada tahun 1818 & 1830, namun gerakan tersebut mengalami kegagalan.

6.      Kebangkitan semangat nasionalisme untuk menyatukan Itali dapat diperhatikan melalui beberapa gerakan yang dipimpin oleh Mazzini, Count Camillo Benso di Cavour & Guiseppe Garibaldi.


Perjuangan Mazzini

1.      Mazzini (1805-1872), berasal dari Genoa menubuhkan satu gerakan yang dikenali sebagai Itali Muda ( Young Itali ). Beliau berhasrat menjadikan Itali sebuah kerajaan republik. Gerakan Young Itali cuba bersifat nasional dengan mempengaruhi pelbagai golongan  seperti golongan pertengahan, pekerja, buruh, pegawai, petani,pengawai tentera & sebagainya. Pada tahun 1833, dianggarkan 60000 menjadi ahli gerakan ini.

2.      Pada tahun 1833, Mazzini memimpin satu gerakan menentang Raja Charles Albert di Piedmant tetapi gerakan tersebut dapat dipatahkan oleh Raja Charles Albert. 


Perjuangan Count Camillo Benso de Cavor

1.      Tokoh terbilang dalam menyatukan Itali ialah Count Camillo Benso de Cavor (1810-1861), Perdana Menteri dalam kerajaan Raja Victor Emmanuel di Piedmont ( Sardinia).

2.      Semasa pemerintahan Raja Charles Albert, Count Camillo Benso tidak terlibat dengan kerajaan tetapi apabila Raja Victor Emmanuel II menaiki tahkta, Count Camillo Benso de Cavour terlibat secara langsung dalam bidang politik. Pada tahun 1849, beliau dipilih sebagai ahli Parlimen Piedmont. Pada tahun 1850, beliau menjawat Menteri Pertanian & Perdagangan. Pada tahun 1852, beliau menjadi Menteri luar & Perdana Menteri Piedmont.

3.      Semasa menjadi Perdana Menteri, beliau memajukan Piedmont dengan menurunkan kadar cukai, membina kilang, membawa masuk jentera, memperbaiki jalan raya & membina jalan kereta api. Sistem kewangan kerajaan disusun semula & menghadkan keistimewaan yang diberi kepada penguasa gereja.

4.      Perubahan yang dilakukan oleh beliau dilihat sebagai titik permulaan kepada cita-citanya iaitu menyatukan Itali. Oleh sebab itu, beliau telah menyusun semula tenteranya dengan berunding secara rahsia dengan pihak-pihak di Itali yang ingin menghalau pemerintah Austria dari Itali .

5.      Langkah pertama dan dasar luarnya ialah bekerjasama dengan Perancis dan Britaindalam Perang Crimer bagi menentang Rusia. Namun ramalan Count Camillo Benso de Cavour yang menjangkakan Austria akan menyertai Rusia tidak berlaku dan rancangan pertama ini gagal.

6.      Langkah kedua dalam usaha menyatukan Itali ialah membuat persetiaan dengan Perancis akhirnya pada tahun 1858 Cavour menandatangani perjanjian dengan Napoloen III yang bertujuan membebaskan Itali daripada penguasaan Austria.

7.      Peperangan antara Sardinia-Perancis dengan Austria meletus dan Austria dapat ditumpaskan di Margenta dan Solferino. Bagaimanapun maharaja Perancis memberhentikan peperangan tersebut dan membuat perjanjian dengan Austria.

8.      Kekalahan Austria telah  memberi kesan kepada pemerintah daerah sekutu Austriaseperti TuscanyParma dan Modena kerana kehilangan sokongan pihak luar seperti yang diperoleh sebelum ini. Mereka turun takhta dan melarikan diri

9.      Untuk mengukuhkan kedudukan Sardinia, Cavour merasakan perlunya Sardinia terlibat secara aktif di kawasan tertentu seperti di negeri-negeri Papal. Tentera Sardinia menyerang negeri-negeri Papal dan akhirnya negeri-negeri tersebut jatuh ke tanganSardinia kecuali Rom. Kemenangan ini bermakna Cavour berjaya menguasai bahagian utara dan tengah Itali.

10. Seorang lagi tokoh yang terlibat dengan penyatuan Itali ialah Giusepppe Garibaldi (1807-1882) yang berasal dari Nice.

11. Di bahagian selatan Itali, iaitu di Dua Sicily berlaku pemberontakan terhadap pemerintahan Raja Bourbon, Ferdinand II dan penggantinya Francis II.

12. Garibaldi memimpin tenteranya ke Dua Sicily bagi   pemberontak disana. Dalam masa 3 bulan sahaja beliau telah berjaya menguasai Sicily dan Naples.

13. Sehingga tahun 1861, semua negeri berada dibawah kerajaan Sardinia kecuali Rom danVenetia. Parlimen Sardinia bertukar menjadi parlimen Itali dan pada 17 Mac 1861, Raja Victor Emmanuel II memakai gelaran raja Itali.

14. Itali meminta bantuan kuasa asing,iaitu Prusia dalam usaha mengusir  Austria. Pada tahun 1870, meletus peperangan antara Perancis dan Prusia. Perancis mengarahkan tenteranya yang berada di Rom (Vatican City) supaya keluar bagi menghadapi Prusia. Kesempatan ini diambil oleh tentera Itali untuk memasuki Rom.

15. Pada tahun 1871, Raja Victor Emmanuel II memindahkan ibu kota Itali dari Florence ke Rom. Usaha penyatuan ini tiba ke penghujungnya.

ESEI 7 HURAIKAN PERKEMBANGAN PERTANIAN DI BELANDA

Tema 1: Masyarakat
Soalan: Huraikan perkembangan pertanian di Belanda

Pada abad ke-17 dan ke-18, Belanda muncul sebagai sebuah negara yang pesat membangun ekonominya ekoran  perkembangan pesat kegiatan pertaniannya. Selain tanahnya yang subur, peranan Sungai Rhine dan Sungai Maas banyak membantu meningkatkan hasil pengeluaran pertanian di Belanda.
Kegiatan pertanian di Belanda berkembang pesat dengan adanya sistem pengairan yang baik. Menjelang pertengahan abad ke-17, penyaliran tanah telah dilakukan secara besar-besaran di Belanda. Sistem pengairan yang tersusun ini berjaya membekalkan air untuk menyiram tanaman. Kesan penggunaan teknologi pengairan ini banyak membantu  meningkatkan hasil keluaran pertanian Belanda.
Petani-petani di Belanda juga telah memperkenalkan sistem tanaman bergilir. Melalui system ini,  tanah pertanian yang sudah dituai hasilnya tidak biarkan begitu sahaja. Tanah ini kemudiannya ditanam dengan tanaman selingan seperti lobak, kacang pis dan bijirin. Kaedah ini membolehkan petani di Belanda membekalkan hasil pertanian secara berterusan selain mampu mengekalkan kesuburan tanah.
Selain menjalankan kegiatan pertanian, petani di Belanda turut menjalankan kegiatan penternakan terutamanya lembu. Belanda memiliki kawasan yang sesuai untuk memberi makan lembu-lembu ternakan bagi menjadikan ia lebih gemuk. Lembu-lembu yang gemuk ini kemudiannya disembelih sebelum dieksport ke  bandar-bandar di wilayah selatan. Perdagangan lembu ini juga telah membantu merangsang perkembangan ekonomi Belanda.
Walaupun hasil keluaran pertanian di Belanda meningkat, tetapi mereka masih mengimport bijirin seperti gandum dari luar terutamanya Baltik kerana permintaan yang tinggi dan jumlah penduduknya yang semakin meningkat. Perdagangan gandum dengan Baltik  telah menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk Belanda. Perdagangan gandum ini juga turut memberi impak positif kepada bidang lain terutama perkapalan, kelasi dan barangan.
Kepesatan kegiatan pertanian di Belanda banyak dibantu oleh kesuburan tanah, iklim sederhana yang bersesuaian serta inovasi dalam bidang pertanian. Perkembangan kegiatan pertanian ini akhirnya menyumbang kepada perkembangan ekonomi perdagangan dan perkapalan.

KERAJAAN PERSEKUTUAN AMERIKA SYARIKAT

TEMA 2: PEMERINTAHAN DAN PENTADBIRAN

KERAJAAN PERSEKUTUAN AMERIKA SYARIKAT

Pengenalan
Peta Amerika Syarikat Yang Mengandungi 50 Buah Negeri Pada Tahun 1850-an.
1.     Persekutuan berasal daripada perkataan Greek iaitu foedus yang membawa maksud perjanjian. Persekutuan merupakan gabungan beberapa wilayah atau negeri di bawah satu perlembagaan pusat.

2.     Sistem persekutuan adalah satu sistem pemerintahan yang mengandungi 2 kerajaan iaitu kerajaan pusat dan negeri yang mempunyai bidang kuasa masing-masing dalam perkara tertentu.

3.     Walaupun negeri-negeri ini berada di bawah pemerintahan pusat, negeri-negeri ini diberi kebebasan untuk mengubal undang-undang sendiri berdasarkan kepada adat dan budaya tempatan.

4.     Amerika Syarikat merupakan kerajaan persekutuan yang dibentuk daripada 13 buah negeri yang pernah menjadi koloni Britian, kemudian menjelang akhir abad ke-19 telah menjadi 50 buah negeri. Pusat pemerintahannya terletak di Washington dan Presiden sebagai ketua kerajaan.

PERKEMBANGAN SEJARAH AMERIKA SYARIKAT


1.          Sebelum tertubuhnya kerajaan persekutuan Amerika, orang Eropah berlumba-lumba untuk meneroka dan membuat penempatan di benua Amerika seperti orang Sepanyol, Portugis, Perancis, Belanda dan British.

2.          John Cobat merupakan orang pertama meneroka di Amerika pada tahun 1497, diikuti oleh Sir Humphrey Gilbert (1583) dan Sir Walter Raleigh (1584). Kesemua usaha mereka menemui kegagalan kerana mendapat tentangan kaum peribumi Red Indian dan kawasan tersebut tidak sesuai untuk pertanian.

3.          Pada tahun 1607, Kapt. John Smith membuka koloni di Virginia dan berjaya memajukannya kerana memiliki kubu-kubu pertahanan di Jamestown dan wujudnya hubungan baik dengan puak Red Indian. Ini telah mendorong lebih ramai orang British berhijrah ke Amerika untuk memulakan kehidupan baru ekoran kerajaan Britian mengenakan cukai yang tinggi kepada mereka dan masalah  agama terutama daripada golongan puritan.

4.          Pada tahun 1620, golongan puritan telah mendarat di New Plymounth dan telah mendapat bantuan orang Red Indian untuk menanam jagung. Pada tahun 1621, mereka telah menganjurkan Kenduri Kesyukuran” kerana mendapat hasil jagung yang banyak sebagai tanda berterima kasih kepada tuhan.

5.          Kedatangan orang British semakin bertambah di Amerika dengan membentuk 13 koloni iaitu telah membuka penempatan koloni di Virginia (1607), Massachusetts dan New Hampshire (1630), Maryland (1634), Connecticut dan Rhode Island (1636), Delaware (1638), Carolina Utara (1653), Carolina selatan (1663), New Jersey (1664), New York (1664), Pennsylvania (1681) dan Georgia (1732).

6.          Pada abad ke-18, Britian dan Perancis mempunyai koloni di Amerika Utara. Pada tahun 1756, telah tercetus Perang Tujuh Tahun (1756-1763) antara Britian dengan Perancis di Eropah. Dalam perang ini Perancis telah kalah dan perang ini ditamatkan melalui Perjanjian Paris. Oleh kerana perang ini melibatkan belanja yang besar, Britian mendesak koloni di Amerika membiayai sebahagian perbelanjaan perang tetapi mendapat bantahan penduduk koloni.

7.          Raja George III tidak menghiraukan bantahan ini, sebaliknya memperkenalkan 4 akta bagi mengutip cukai di koloni seperti akta pelayaran, gula, setem dan teh. Penduduk tetap membantah dengan melaungkan slogan tiada cukai tanpa perwakilan” dan ini telah membimbangkan Britian. Britian telah menarik balik kesemua akta kecuali akta teh.

8.          Melalui Akta Teh, hanya SHTI sahaja boleh menjual teh kepada penduduk di koloni-koloni tanpa membayar cukai dan penduduk koloni tidak boleh mengimport teh. Hal ini menimbulkan kemarahan penduduk di koloni. Pada tahun 1773, beberapa orang penduduk koloni menaiki kapal SHTI dan membuang kotak-kotak teh ke laut. Peristiwa ini dikenali sebagai Peristiwa Pembuangan Teh Boston dan ekoran daripada peristiwa ini pelabuhan Boston telah ditutup pada tahun 1774.

9.          Tindakan Britian ini telah menyebabkan penduduk di koloni bangkit memperjuangkan kemerdekaan mereka daripada Britian. Pada Sept. 1774, pemimpin 13 koloni telah bertemu di Philadelphia dan bersetuju menubuhkan sebuah Kongres (Parlimen Bersatu). George Washington telah dilantik sebagai pemimpin tentera koloni-koloni Amerika dan mengisytiharkan perang terhadap Britian pada tahun 1775.

10.       Pertempuran telah berlaku di Lexington pada April 1776. Pada Julai 1776, kongres yang bersidang di Philadelphia telah meluluskan Pengisytiharan Kemerdekaan Amerika yang ditulis oleh Thomas Jefferson. Melalui pengisytiharan ini, 13 koloni telah digabungkan menjadi Amerika Syarikat yang merdeka.

11.       Kekalahan demi kekalahan yang dialami oleh tentera Britian seperti di Saratoge (1777) dan Yorktown (1781). Pada tahun 1783, perang telah ditamatkan melalui Perjanjian Versailles iaitu Britian mengakui kemerdekaan Amerika Syarikat dan menyerahkan kesemua 13 tanah jajahannya.


PENGUBALAN PERLEMBAGAAN AMERIKA SYARIKAT

1.          Pada tahun 1787, perwakilan daripada semua negeri telah bertemu di Philadelphia untuk merangka perlembagaan seperti Benjamin Franklin, George Washington, John Adams, Alexander Hamilton, James Madison dan George Mason.

2.          Di bawah perlembagaan ini:
a.      Sebuah kerajaan persekutuan akan diwujudkan
b.      Kerajaan pusat menguasai perkara-perkara penting seperti dasar luar negeri, pertahanan, cukai dan mata wang.
c.      Hal-hal tempatan terletak di bawah bidang kuasa negeri masing-masing
d.      Pentadbiran kerajaan akan dibahagi kepada eksekutif, perundangan dan kehakiman.

3.          Pilihanraya pertama Amerika Syarikat telah diadakan pada 4 Nov. 1789 dan George Washington telah dilantik menjadi Presiden Amerika Syarikat yang pertama.

4.          George Washington bertindak untuk mewujudkan perpaduan antara negeri-negeri persekutuan dengan dibantu oleh Thomas Jefferson, Henry Knox, Alexander Hamilton dan John Kay. Antara yang dilakukan oleh Washington ialah memperkenalkan sistem cukai yang adil dan seragam antara negeri, menyeragamkan penggunaan mata wang, menubuhkan Bank Nasional pada tahun 1791, dan memindahkan pusat pentadbiran dari Philadelphia ke Washington.

5.          Bangunan Capitol dan White House telah dibina di Washington sebagai lambang perpaduan dan demokrasi rakyat Amerika Syarikat. Kongres pertama telah diadakan di Capitol pada tahun 1800.

6.          Pada tahun 1812, Perang Inggeris-Amerika telah meletus disebabkan tindakan Britian memeriksa semua kapal Amerika yang menuju ke Eropah untuk menggelakkan bekalan sampai ke tangan musuh. Amerika mengumumkan dasar berkecuali dalam Perang Napoleon. Ini telah menyebabkan Britian menahan dan memeriksa kapal-kapal dagang Amerika dan ini telah menjejaskan kegiatan perdagangan Amerika.

7.          Selepas perang tamat muncul kebimbangan Amerika terhadap aktiviti peluasan kuasa Eropah dalam hal ehwal Amerika sehingga munculnya doktrin Monroe” yang menekankan konsepAmerika untuk orang Amerika” pada tahun 1823. Doktrin ini diwujudkan bertujuan untuk menjaga kepentingan negara daripada pencerobohan kuasa luar terutama Eropah. Amerika juga menegaskan bahawa peperangan akan dilancarkan terhadap mana-mana pihak yang melanggar doktrin ini.

8.          Pada abad ke-19, Amerika telah berkembang daripada 13 buah koloni kepada 50 buah negeri melalui 3 cara iaitu pembelian, perjanjian dan peperangan. Menjelang tahun 1850-an, Amerika telah mempunyai sempadan negeri seperti hari ini.

9.          Walau bagaimanapun, Amerika mula menampakkan pepecahan antara negeri-negeri utara dan selatan. Perpecahan ini semakin serius sehingga meletusnya Perang Saudara pada tahun 1861-1865 antara Kesatuan Amerika Syarikat (Negeri-negeri Utara) dengan Gabungan Negeri-Negeri Amerika (Negeri-Negeri Selatan). Perang ini meletus disebabkan oleh masalah hamba abdi, tindakan negeri-negeri selatan menarik diri dari kesatuan Amerika, perbezaan antara negeri-negeri Utara dengan Selatan dan wujudnya perasaan tidak puas hati terhadap undang-undang kerajaan pusat.

10.      Perang ini bermula apabila Fort Sumter telah diserang oleh tentera selatan pada 12 April 1861. Pada Sept. 1862 pula tentera selatan telah mengalami kekalahan di Maryland dan di Gettysburg pada Julai 1863. Selepas perang tamat, Abraham Lincoln telah memberi ucapan termasyhur yang dikenali Ucapan Gettysburg” dan berakhir dengan kata-kata...kerajaan daripada rakyat, oleh rakyat, bagi rakyat tidak akan lenyap dari muka bumi...”.

11.       Perang saudara ini telah banyak memberi kesan seperti lebih ½ juta orang Amerika terkorban, amalan perhambaan dihapuskan di Amerika dan negeri-negeri Utara dan Selatan bersatu semula.

12.       Selepas tamatnya perang, Amerika Syarikat telah membangun sebagai sebuah negara yang bersatu yang terdiri daripada pelbagai bangsa. Amerika juga mengalami perubahan ekonomi yang pesat dalam bidang perindustrian, pertanian dan pengangkutan.


Contoh Esei 1 Tema 2: Pemerintahan dan Pentadbiran Soalan: Huraikan / Jelaskan sistem pembesar yang diamalkan di China abad ke-16 hingga ke-20.

Contoh Esei 1
Tema 2: Pemerintahan dan Pentadbiran
Soalan: Huraikan / Jelaskan sistem pembesar yang diamalkan di China abad ke-16 hingga ke-20.
Pembesar merujuk kepada pegawai kerajaan yang dilantik oleh raja untuk membantu melicinkan perjalanan pentadbiran sesebuah negara. Di China, pegawai yang terdiri daripada golongan cerdik pandai merupakan orang kedua terpenting selepas maharaja. Pembesar China boleh dibahagikan kepada dua iaitu pembesar di peringkat pusat dan pembesar di peringkat wilayah.

Pentadbiran China dibahagikan kepada tiga unit utama iaitu Majlis Tertinggi, Sekretariat Agung dan Lembaga Penapis [Censorate]. Majlis Tertinggi terdiri daripada enam kementerian yang setiap satunya diketuai oleh pegawai yang dipanggil Shangschu. Majlis Tertinggi berperanan menasihati maharaja dalam hal pemerintahan. Sekretariat Agung berperanan menyelia, menyelaras dan melaporkan perjalanan enam kementerian yang terdapat dalam pentadbiran kerajaan pusat. Lembaga Penapis pula berperanan menjadi mata dan telinga maharaja yang melaporkan setiap tindakan pembesar.

Dalam sistem pembesar China terdapat dua kelompok pembesar iaitu golongan sarjana dan bukan sarjana. Golongan sarjana menduduki darjat paling tinggi dalam sistem pembesar China. Golongan ini merupakan lulusan peperiksaan awam yang menjadi syarat lantikan atau kenaikan pangkat. Golongan sarjana biasanya menjawat jawatan yang penting terutama dalam hal yang melibatkan penggubalan dasar. Dasar yang telah digubal ini akan dilaksanakan oleh pembesar bawahan di peringkat wilayah dengan bantuan pembesar tempatan iaitu gentry.

Pembesar peringkat wilayah yang bukan golongan sarjana pula memiliki angkatan tentera sendiri. Mereka berperanan menyediakan bantuan ketenteraan kepada pemerintah pusat terutama ketika diperlukan.  Selain itu, mereka juga bertanggungjawab menjaga keamanan dan kestabilan wilayah sendiri. Kedudukan pembesar ini lebih rendah berbanding pembesar golongan sarjana.
Semasa pemerintahan Dinsati Ch’ing, gabenor dilantik sebagai pentadbir daerah yang menguruskan pentadbiran, keamanan dan ketenteraan, serta kutipan cukai. Gabenor ini berhubung langsung dengan pemerintahan pusat. Kesetiaan gabenor kepada pemerintah pusat dipaterikan dalam dikri diraja. Gabenor akan mentadbir dan  dibantu oleh pegawai daerah yang dilantik oleh maharaja.


Sistem pembesar di China yang menekankan ajaran klasik Confucius menyaksikan China bangkit sebagai sebuah kuasa yang besar sekitar abad ke-16 hingga ke-20. Walau bagaimanapun, sikap pemerintah Dinasti Ch’ing yang tidak lagi menekankan  ajaran Confucius menyebabkan kemerosotan nilai dan etika para pembesar yang lebih mementingkan kebendaan. Sistem pembesar di China berakhir apabila pemerintahan Dinsati Ch’ing tamat.

dekolonisasi di negara china


Dekolonisasi Di China

Pengenalan
 Dekolonisasi merupakan usaha @ proses membebas atau memberi kebebasan kepada tanah jajahan dengan cara memberikan kemerdekaan. Dekolonisasi mula berkembang selepas Perang Dunia Pertama dan bertambah rancak selepas Perang Dunia Kedua. 

Dekolonisasi di China
Kedatangan kuasa Barat pada abad ke-19 menyebabkan China banyak menerima pengaruh Barat. Selain kuasa Barat, Jepun juga turut menduduki China. Oleh yang demikian, pemimpin-pemimpin China berusaha membebaskan negara mereka dari cengkaman penjajah.

Usaha Dekolonisasi di China
1. Peranan Kang Yu-wei 
Kang Yu-wei merupakan tokoh terkenal di China. Pada tahun 1898, Kang Yu-wei memimpin Reformasi Seratus Hari. Beliau berusaha mewujudkan monarki berperlembagaan ala-Barat di China. Walaupun pada awalnya dihalang oleh golongan konservatif tetapi usaha beliau akhirnya diterima berikutan rakyat China sudah tidak dapat menerima dasar pemerintahan Dinasti Ching yang lebih condong kepada tradisi orang Manchu

2. Peranan Dr. Sun Yat Sen 
Dr. Sun merupakan tokoh revolusi yang hebat. Beliau berperanan melancarkan revolusi bagi menyatakan ketidakpuasan hati terhadap sikap kerajaan China yang tidak bersungguh-sungguh dalam melaksanakan sistem pemerintahan berperlembagaan.
Beliau mengemukakan Tiga Prinsip Rakyat iaitu;


  1. Rakyat mempunyai hak bersuara dan memilih pemimpin
  2.  Rakyat China mesti menggulingkan kerajaan Ching dan mengembalikan kedaulatan China
  3. Rakyat mempunyai hak sama rata dalam pemilikan tanah

Pada tahun 1905, Dr Sun Yat Sen menubuhkan Tung Meng Hui. Beliau memimpin beberapa siri revolusi dalam usaha menggulingkan Kerajaan Ching yang dikuasai oleh orang Manchu. Pada tahun 1911, revolusi pimpinan Dr Sun Yat Sen berjaya menumbangkan kerajaan dan membentuk kerajaan Republik China. Pada tahun 1912, Tung Meng Hui ditukar nama kepada Kuomintang[KMT] ataupun Parti Kebangsaan.

Walau bagaimanapun, kerajaan Ching masih berusaha mengembalikan kekuasaan mereka.
Kerajaan melantik Yuan Shih Kai mengetuai tentera bagi menghapuskan golongan revolusi yang dipimpin oleh Dr. Sun. Golongan revolusi bertindak bijak dengan mengadakan rundingan dengan Yuan Shih Kai dan melantik beliau sebagai presiden sementara.

Semasa pilihanraya diadakan, KMT telah menang besar. Walau bagaimanapun, Yuan Shih Kai enggan meletak jawatan sebaliknya melantik dirinya sebagai mahajara China. Beliau mengamalkan pemerintahan diktator. Beliau telah mengharamkan KMT dan bertindak membunuh pemimpin KMT.

 Setelah Yuan Shih Kai meninggal dunia [1916], Dr. Sun Yat Sen yang berada di Jepun telah kembali ke China dan mengukuhkan semula kedudukan Kuomintang seterusnya menubuhkan kerajaan di Canton.   Beliau berusaha menyatukan rakyat China.

Usaha Dr. Sun tidak disenangi  oleh kuasa Barat seperti Britain, Perancis dan AS. Memandangkan kuasa Barat tidak menyokong usaha tersebut,  Dr Sun Yat Sen telah meminta bantuan Rusia. Pada tahun 1923, Parti Komunis China [PKC] telah bergabung dengan Kuomintang [KMT] dan membentukBarisan Bersatu


Chiang Kai-shek berjaya melemahkan kumpulan prokomunis sehinggalah munculnya Mao Tze Tung. Mao Tze Tung berjaya memulihkan sokongan rakyat kepada PKC dengan menekankan dasar mengusir penjajah dan hak sama rata ke atas pemilikan tanah. KMT dan PKC terus berbalah dan terjebak dengan beberapa siri perang saudara ekoran percanggahan dasar.

Dengan sokongan padu penduduk luar bandar, PKC berjaya memenangi perang saudara menentang KMT. Pada tahun 1949, PKC berjaya membentuk kerajaan komunis yang dikenali sebagai Republik Rakyat China. Chiang Kai-shek dan penyokongnya yang tewas telah melarikan diri ke Taiwan dan menubuhkan kerajaan demokratik.

oleh itu
Usaha dekolonisasi di China menyaksikan berlakunya perpecahan dalam kalangan rakyatnya. Perpecahan akibat percanggangan ideologi ini turut mencetuskan perang saudara. Hal ini sedikit sebanyak telah memberi kesan ke atas usaha mengusir penjajah dari China.  Walau bagaimanapun, kemunculan tokoh-tokoh berwibawa telah berjaya menyatukan sebahagian besar penduduk China sehingga akhirnya mampu mengusir penjajah Barat sekaligus mengembalikan kedaulatan di China.